Inspektor Polis Wanita dan Adik Direman, Disyaki Terima Rasuah Bulanan Kes Dadah

Seorang pegawai polis wanita berpangkat Inspektor bersama adik lelakinya kini ditahan reman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Penahanan tersebut dibuat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM30,000 sebagai balasan untuk melepaskan individu yang terlibat dalam kes jenayah narkotik.

Perintah reman sehingga 24 Januari itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhari di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini, susulan permohonan daripada pihak SPRM.

Menurut sumber SPRM, suspek wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an dan adik lelakinya, lingkungan 20-an, ditahan pada petang dan malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Pahang.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua beradik ini disyaki bersubahat melakukan kegiatan tersebut sejak tahun 2021 hingga 2025.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan dengan jumlah antara RM1,000 hingga RM7,000. Wang tersebut didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik suspek lelaki,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA

Exit mobile version