Insurans Kesihatan, Simpanan Pesaraan KWSP Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

Langkah kerajaan dalam memperkukuh peraturan insurans kesihatan serta isu kecukupan simpanan persaraan bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi antara agenda utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang diterbitkan di portal Parlimen, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai (PH) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. Beliau ingin mengetahui langkah-langkah kerajaan bagi memperketat peraturan insurans demi melindungi pemegang polisi, khasnya pesakit kritikal dan kanser, daripada berdepan tindakan pembatalan polisi serta penolakan tuntutan yang tidak adil, di samping meningkatkan ketelusan dan memantapkan mekanisme penyelesaian pertikaian.

Pada sesi yang sama, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH) turut bertanyakan Menteri Kewangan mengenai strategi jangka masa panjang kerajaan bagi memastikan rakyat, terutamanya pencarum KWSP, mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi untuk mendepani peningkatan kos sara hidup serta menghadapi cabaran penuaan penduduk menjelang tahun 2030.

Selain isu kewangan dan persaraan, Hassan Saad (PN-Baling) dijangka mengajukan soalan kepada Menteri Komunikasi berhubung sejauh mana keberkesanan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar, memandangkan masih terdapat jurang yang ketara dari segi capaian internet, penguasaan kemahiran digital, dan aspek pemasaran dalam kalangan usahawan kecil.

Persidangan hari ini juga akan menyentuh mengenai keberkesanan penggunaan aplikasi Mobile Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang telah diperkenalkan sejak Mei 2025 bagi membendung masalah ketirisan minyak masak paket bersubsidi, selain menilai skim pembiayaan sedia ada bagi membantu kelangsungan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

Selepas tamat sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan mendengar sesi penerangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan mengenai penyata jawatankuasa berhubung Reformasi Sistem Pendermaan dan Transplan Organ Nasional.

Seterusnya, ahli-ahli Dewan Rakyat dijadual membahaskan peringkat jawatankuasa serta sesi penggulungan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026, yang akan disusuli dengan bacaan kali kedua untuk RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026.

Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 ini berlangsung selama 16 hari dan dijadualkan melabuhkan tirainya pada 16 Julai depan.

– Bernama

Exit mobile version