
Iran mengutuk keras pencerobohan dan jenayah perang berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, sambil menggesa komuniti antarabangsa untuk mengambil “tindakan serius dan tegas” bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran pada Isnin menjelang sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) itu turut mengecam tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang disifatkan mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa serta Tembok Buraq.
Kementerian berkenaan turut menuduh rejim Israel menjalankan pembunuhan dan penyeksaan secara sistematik ke atas tahanan Palestin. Menurut laporan tersebut, lebih 10,000 wanita dan kanak-kanak Palestin telah ditahan, dengan puluhan daripadanya maut dalam tahanan manakala ratusan lagi menderita kecacatan kekal. Pihak Tehran mendakwa sekurang-kurangnya tiga tahanan Palestin meninggal dunia akibat disiksa pada setiap bulan, yang membuktikan sifat kejam dan berasaskan pemisahan kaum (apartheid) rejim berkenaan.
Kecam Peranan AS dan Desak Akuntabiliti PBB
Dalam kenyataan yang sama, Iran menyelar Amerika Syarikat (AS) atas sokongan berterusan dari segi ketenteraan, kewangan, dan politik kepada Israel. AS dituduh melindungi rejim Tel Aviv daripada sebarang tindakan undang-undang antarabangsa, termasuk menerusi tekanan dan sekatan terhadap hakim-hakim mahkamah antarabangsa serta aktivis hak asasi manusia.
Tehran turut menegaskan bahawa pencerobohan Israel sepanjang lapan dekad lalu telah mencabar kewibawaan PBB dan mencabuli pelbagai resolusi antarabangsa.
Seiring dengan tema Perhimpunan Agung PBB ke-81 yang memberi tumpuan kepada usaha “memperbaharui kepercayaan” terhadap badan dunia itu, Iran menyeru semua kerajaan untuk mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri. Tehran turut menuntut tindakan pantas bagi menyekat peluasan wilayah jajahan, membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Sumber: Agensi Anadolu (AA) via TRT World