
Tentera Israel telah membunuh lebih 22,000 kanak-kanak Palestin dan mencederakan lebih 45,000 yang lain di Semenanjung Gaza yang dikepung sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai (genosid) pada Oktober 2023, menurut Kementerian Luar Palestin.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, kementerian berkenaan menyeru masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi melindungi kanak-kanak Palestin serta memastikan pihak yang bertanggungjawab atas pencabulan hak terhadap golongan itu diheret ke muka pengadilan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan menjelang sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang diraikan pada 20 November setiap tahun.
“Melindungi kanak-kanak Palestin merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh ditangguhkan lagi, manakala menghentikan jenayah Israel terhadap mereka serta menuntut pertanggungjawaban pelakunya adalah tanggungjawab kolektif antarabangsa.
“Lebih 11,000 kanak-kanak yang cedera pula mengalami kecederaan parah sehingga mengakibatkan kecacatan kekal serta kesan kesihatan jangka panjang,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar Palestin turut mendedahkan bahawa lebih 71,000 kanak-kanak telah menjadi yatim piatu selepas kehilangan salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka, manakala kira-kira 800,000 lagi masih kehilangan tempat tinggal dengan kebanyakannya hidup tanpa perlindungan selamat, kestabilan mahupun keperluan asas.
“Kepentingan angka-angka ini melangkaui skala kerugian nyawa manusia semata-mata, malah menjejaskan keupayaan masyarakat Palestin untuk terus bertahan serta meragut masa depan generasi akan datang,” tambah kenyataan itu.
Di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, tentera Israel dan peneroka haram Zionis dilaporkan telah membunuh lebih 263 kanak-kanak serta mencederakan lebih 2,186 yang lain dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, di samping menculik lebih 350 kanak-kanak.
Selain itu, berpuluh-puluh kanak-kanak Palestin masih ditahan di dalam penjara Israel di bawah perintah tahanan pentadbiran tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan.
“Kes pembunuhan, kecederaan, penahanan sewenang-wenangnya dan pengusiran paksa ke atas kanak-kanak semakin meningkat, seiring dengan serangan berterusan oleh pasukan tentera dan penjajah Israel,” tegas kementerian berkenaan.
Seruan Tindakan Segera Antarabangsa
Dalam pada itu, Kementerian Luar Palestin menegaskan bahawa kanak-kanak Palestin berhak mendapat perlindungan antarabangsa, manakala hak mereka untuk hidup, mengecapi kebebasan, keselamatan, maruah, pendidikan, kesihatan serta perlindungan daripada segala bentuk keganasan adalah dijamin di bawah undang-undang antarabangsa.
“Pencabulan berterusan Israel terhadap kanak-kanak di wilayah Palestin yang diduduki menjadi ujian sebenar terhadap komitmen masyarakat dunia dalam menunaikan kewajipan perundangan dan kemanusiaan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, kementerian tersebut menggesa komuniti antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensinya, pertubuhan kemanusiaan serta Pihak-Pihak Berkontrak Tinggi Konvensyen Geneva agar mengambil langkah konkrit dan segera bagi menamatkan pendudukan Israel, menghentikan pencabulan serta keganasan peneroka haram, dan menyediakan perlindungan antarabangsa yang berkesan buat kanak-kanak Palestin.
Sejak Oktober 2023, Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan perang genosid di Gaza yang mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 orang—majoritinya wanita dan kanak-kanak—selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah terkepung itu.
Penganalisis bagaimanapun menganggarkan angka korban sebenar akibat serangan genosid Israel di Gaza berkemungkinan mencecah 200,000 orang, dengan 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan wilayah berkenaan kini berada di bawah pendudukan ketenteraan Israel.
Pada masa sama, tentera Israel dan peneroka haram terus memperhebatkan serangan ke atas rakyat Palestin serta harta benda mereka di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, menerusi serbuan berkala, penculikan, perobohan kediaman, pengusiran paksa komuniti Palestin serta peluasan penempatan haram.
Sumber: TRT World & Agensi