
Tentera Israel melancarkan latihan ketenteraan mengejut di seluruh Tebing Barat yang diduduki pada Jumaat, dengan menggerakkan semua batalion di bawah Divisyen Tebing Barat bagi menguji kesiapsiagaan operasi pasukannya.
Menurut kenyataan rasmi pihak ketenteraan, latihan yang dijadualkan berterusan sehingga petang Jumaat itu bertujuan mendepani “pelbagai senario kejutan” serta memperketat kawalan keselamatan menjelang musim cuti perayaan Yahudi.
Perayaan tersebut bermula dengan Rosh Hashanah (Tahun Baru Yahudi), diikuti oleh Yom Kippur pada 20 September dan Sukkot pada 25 September. Menjelang musim perayaan ini, Israel secara rutin mengetatkan sekatan laluan dan pergerakan ke atas penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.
Latihan yang melibatkan pergerakan intensif anggota ketenteraan ini berlaku di tengah-tengah peningkatan tindakan ketenteraan Israel di wilayah pendudukan. Pihak berkuasa Israel terus meningkatkan serbuan ke atas bandar, pekan, dan kem pelarian Palestin, selain siri penangkapan, perobohan premis, dan rampasan tanah.
Situasi di Tebing Barat semakin memuncak sejak bermulanya konflik di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, diiringi peningkatan kes keganasan oleh peneroka haram Israel serta serbuan berterusan oleh pasukan keselamatan.
Untuk rekod, Israel telah menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak Perang Enam Hari pada tahun 1967, serta mendirikan penempatan haram yang menyalahi undang-undang antarabangsa.
Sumber: Agensi Berita Anadolu (AA) via TRT World