Israel Lancar Rancangan Pembinaan 650 Unit Rumah di Penempatan Haram Baharu di Baitulmaqdis

Pihak berkuasa Israel merancang untuk membina sebuah penempatan haram baharu yang merangkumi kira-kira 650 unit rumah di selatan Baitulmaqdis Timur yang diduduki, menurut kenyataan Pejabat Gabenor Baitulmaqdis Palestin pada Isnin.

Jawatankuasa Perancangan dan Bangunan Daerah Israel telah mengemukakan pelan bagi projek yang dinamakan “Nofei Rachel”. Penempatan tersebut bakal membabitkan kawasan seluas 27 dunam (2.7 hektar) yang terletak bersebelahan dengan penempatan serta rumah-rumah kediaman rakyat Palestin.

Pihak gabenor memberi amaran bahawa projek berkenaan akan memberi kesan buruk secara langsung kepada kehidupan seharian penduduk tempatan. Langkah ini disifatkan sebagai sebahagian daripada dasar berterusan Israel untuk menyekat kehadiran warga Palestin serta pertumbuhan bandar mereka, di samping meluaskan kawasan penempatan haram di wilayah berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, pertubuhan hak asasi manusia Israel, Ir Amim, mendedahkan bahawa tel-Aviv telah memajukan tiga projek penempatan haram utama yang merangkumi lebih 3,400 unit rumah di Baitulmaqdis Timur sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa secara konsisten menegaskan bahawa pembinaan penempatan Israel di atas tanah Palestin yang diduduki adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa serta merosakkan prospek penyelesaian dua negara.

Mengikut anggaran badan pemerhati Peace Now, kini terdapat kira-kira 500,000 peneroka haram Israel yang mendiami Tebing Barat yang diduduki, manakala 250,000 lagi menetap di penempatan haram di Baitulmaqdis Timur.

Sumber: Anadolu Agency (AA) / TRT World (Israel launches plan to build around 650 homes in new illegal settlement: Jerusalem Governor)

Exit mobile version