
Rejim Israel dilaporkan memulakan operasi merobohkan 26 buah bangunan milik warga Palestin di berhampiran Jenin, kawasan utara Tebing Barat yang diduduki, pada Rabu.
Menteri Kewangan Israel yang berhaluan kanan jauh, Bezalel Smotrich, mengesahkan perkara tersebut menerusi satu hantaran di platform X. Pengerusi parti Zionisme Agama itu turut melabelkan struktur bangunan berkenaan sebagai “haram” sambil memuat naik gambar yang memaparkan proses perobohan sedang dijalankan.
Langkah ini menyusul tindakan kerajaan Israel pada akhir tahun 2025 yang meluluskan pembukaan semula penempatan haram Ganim dan Kadim di kawasan berhampiran. Ia merupakan sebahagian daripada keputusan rejim untuk menubuhkan atau menyusun semula 19 penempatan haram di seluruh Tebing Barat.
Perluasan kawasan penempatan haram ini terus mekar selepas Parlimen Israel (Knesset) meminda undang-undang pada Mac 2023 yang membatalkan sekatan bagi warga Israel untuk memasuki dan menetap di kawasan berkenaan.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa dalam tempoh Mac hingga Jun sahaja, pihak berkuasa Israel telah memajukan atau meluluskan pelan pembinaan 4,750 unit kediaman penempatan haram baharu. Walaupun Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB menegaskan penempatan tersebut tidak mempunyai kesahan undang-undang, rejim Israel dilihat terus melanggar undang-undang antarabangsa menerusi perluasan wilayah berkenaan.
Sumber: Agensi Anadolu via TRT World