
Tentera Israel mengumumkan bahawa ia telah melancarkan serangan ketenteraan baharu di tiga blok di tengah Semenanjung Gaza serta menutup beberapa bahagian Jalan Salah al-Din, meskipun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak Oktober 2025.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Isnin lalu, siri pencabulan Israel sejak gencatan senjata mula dilaksanakan pada 10 Oktober 2025 telah mengorbankan seramai 1,650 rakyat Palestin dan mencederakan 5,975 yang lain.
Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) tentera Israel menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Rabu memaklumkan bahawa pihak tentera telah memulakan operasi ketenteraan di tengah Gaza, berhampiran apa yang dikenali sebagai “garisan kuning”, khususnya membabitkan kawasan bernombor 660, 661 dan 666.
“Sepanjang tempoh operasi berlangsung, laluan Jalan Salah al-Din akan ditutup di blok-blok yang dinyatakan di atas,” menurut kenyataan COGAT.
Pihak terbabit turut mengarahkan penduduk Palestin supaya menjauhi kawasan berkenaan sehingga jurucakap tentera Israel mengeluarkan maklumat rasmi terbaharu bagi mengumumkan penamatan operasi tersebut.
Israel Gagal Patuhi Perjanjian Gencatan Senjata
Bagaimanapun, pejabat berkenaan tidak memperincikan bentuk serangan mahupun tempoh jangkaan operasi ketenteraan tersebut akan dijalankan.
Untuk rekod, gencatan senjata di Gaza sebelum ini mula berkuat kuasa sebagai sebahagian daripada fasa pertama pelan yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menamatkan perang genosid Israel di wilayah terkepung itu.
Di bawah fasa pertama perjanjian tersebut, pasukan tentera Israel berundur ke sempadan yang digelar sebagai “garisan kuning” di dalam wilayah Gaza.
Namun, Israel terus mengekalkan pendudukan ke atas kira-kira 70 peratus kawasan Gaza, menyebabkan majoriti penduduk Palestin terpaksa bersesak di kawasan sempit di luar zon kawalan tentera Israel.
Sejak perang genosid Israel tercetus pada Oktober 2023, lebih 74,000 rakyat Palestin telah terbunuh manakala lebih 176,000 lagi cedera, dengan sebahagian besar mangsa terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.
Peperangan berlarutan itu turut memusnahkan atau merosakkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di seluruh Gaza, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembinaan semula wilayah berkenaan mencecah sekitar AS$71.4 bilion.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)