Israel Peruntuk RM160 Juta Bangunkan ‘Tapak Warisan Yahudi’ di Tebing Barat

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, mengumumkan peruntukan bernilai 113 juta shekel (kira-kira $37 juta atau RM160 juta) bagi membangunkan apa yang didakwa sebagai “tapak warisan Yahudi” di kawasan Tebing Barat yang diduduki.

Langkah tersebut mencetuskan kontroversi memandangkan ia berlaku di tengah-tengah kerancakan pengembangan penempatan haram di wilayah Palestin. Menerusi hantaran di platform X pada Selasa, ketua parti berhaluan kanan Zionisme Agama itu menyatakan bahawa dana tersebut akan digunakan untuk lebih 70 tapak, menggunakan nama alkitabiah bagi wilayah tersebut:

Bulan lalu, parlimen Israel (Knesset) telah meluluskan bacaan pertama bagi satu rang undang-undang untuk menubuhkan “Pihak Berkuasa Warisan Judea dan Samaria”. Undang-undang ini bertujuan meletakkan tapak bersejarah dari era Rom, Byzantine, dan Perang Salib di bawah bidang kuasa Kementerian Warisan Israel, serta membenarkan perampasan dan pembelian hartanah yang berkaitan dengan tapak-tapak tersebut.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyifatkan langkah itu sebagai agenda tersirat Israel untuk memperluaskan kawalan dan memperdalam operasi penempatan haram di kawasan diduduki.

Menerusi rekod pendedahan oleh Smotrich sebelum ini, kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah meluluskan 104 penempatan haram dan 160 pos kawalan sejak memegang kuasa pada akhir 2022. Angka rasmi Palestin menganggarkan kira-kira 750,000 penduduk haram kini menduduki 156 penempatan dan 360 pos penempatan di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Julai 2024 dan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB telah menegaskan bahawa pembinaan penempatan Israel di wilayah diduduki tidak mempunyai asas kesahan undang-undang antarabangsa dan bersifat haram.

Sumber: TRT World

Exit mobile version