Israel sahkan dua tebusan maut dipulangkan Hamas di tengah pelanggaran gencatan senjata

Pihak berkuasa Israel mengesahkan identiti dua tebusan yang maut di Gaza selepas mayat mereka dipulangkan oleh Hamas di bawah perjanjian gencatan senjata yang masih berjalan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, keluarga kepada dua mangsa, Amiram Kuper dan Sahar Baruch, telah dimaklumkan selepas proses pengecaman selesai dijalankan oleh Institut Perubatan Forensik Kebangsaan.

Sahar Baruch sebelum ini diculik dari kibbutz Beeri ke Gaza dan disahkan terbunuh dalam operasi penyelamatan tentera yang gagal dua bulan kemudian. Manakala Amiram Kuper, berusia 84 tahun ketika diculik bersama isterinya Nourit Kuper dari kibbutz Nir Oz, diumumkan meninggal dunia dalam tahanan pada Jun 2024.

Hamas setakat ini telah menyerahkan 17 daripada 28 mayat tebusan yang disahkan meninggal dunia sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang diuruskan Amerika Syarikat dengan Israel. Forum Tebusan dan Keluarga Hilang mengeluarkan kenyataan menyatakan solidariti dengan keluarga kedua-dua mangsa dan mendesak supaya baki mayat tebusan segera dipulangkan.

Sementara itu, tentera Israel melancarkan siri serangan udara baharu ke atas Gaza dari malam Selasa hingga awal pagi Rabu, mengorbankan lebih 100 orang termasuk berpuluh-puluh kanak-kanak, menjadikannya antara malam pengeboman paling dahsyat sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Menjelang pagi, pihak tentera mengumumkan pelaksanaan “penguatkuasaan semula gencatan senjata”, manakala Presiden AS Donald Trump dan pengantara Qatar menyatakan keyakinan bahawa gencatan itu akan diteruskan.

Hamas dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam insiden tembakan di Rafah dan masih komited kepada perjanjian gencatan senjata. Kumpulan itu juga menangguhkan penyerahan mayat lain buat sementara waktu dengan alasan serangan berterusan boleh menghalang proses pencarian dan pemulihan mayat.

Sumber: TRT World & Agensi

Exit mobile version