
Israel dilaporkan masih menyimpan jenazah kira-kira 1,700 rakyat Palestin bagi tujuan pertukaran pada masa hadapan, walaupun tiada tawanan Israel yang kini ditahan oleh pihak Hamas, menurut laporan akhbar harian Haaretz pada Isnin.
Perkara tersebut diungkapkan dalam perbincangan terbaharu membabitkan badan keselamatan Israel, memetik dua sumber dalaman yang mengetahui mengenai isu berkenaan.
Ketua Shin Bet, David Zini, bersama pihak tentera Israel dilapor menyokong tindakan menahan jenazah-jenazah tersebut sebagai langkah persediaan sekiranya ada warga Israel yang ditawan atau hilang pada masa akan datang.
Menurut laporan itu lagi, sebahagian besar jenazah berkenaan adalah milik warga Palestin dari Gaza yang terlibat dalam serangan pada 7 Oktober 2023 atau pertempuran selepas itu. Walau bagaimanapun, terdapat juga jenazah milik orang awam Palestin yang langsung tidak terlibat dalam sebarang pertempuran.
Tindakan itu turut mempertikaikan aspek undang-undang, di mana pakar undang-undang menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kuasa sah untuk menahan jenazah rakyat Palestin tanpa bukti penglibatan dalam pertempuran, melainkan jika Kabinet Keselamatan menetapkan dasar rasmi mengenainya terlebih dahulu.
Sebelum ini pada Oktober 2025, Kempen Kebangsaan Palestin bagi Pengambilan Mayat Syahid melaporkan bahawa sekitar 1,500 jenazah rakyat Palestin dari Gaza ditahan di kemudahan tentera Sde Teiman yang terletak di selatan Israel.
Meskipun perjanjian gencatan senjata telah dikuatkuasakan sejak 10 Oktober 2025, serangan tentera Israel terus mengorbankan sekurang-kurangnya 1,258 lagi nyawa di Gaza. Secara keseluruhan, lebih 73,000 rakyat Palestin telah terkorban dan 90 peratus infrastruktur di Gaza musnah akibat pencerobohan tentera Israel sejak Oktober 2023.
Sumber: Anadolu Agency (AA) / Haaretz / TRT World (Israel holding bodies of some 1,700 Palestinians for future swaps: Report)