Israel Tahan 14 Rakyat Palestin, Robohkan Tiga Kediaman di Tebing Barat

Tentera rejim Israel menahan sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, berikutan siri serbuan yang dilancarkan di seluruh Tebing Barat yang diduduki, selain bertindak merobohkan tiga buah rumah kediaman.

Menurut sumber tempatan, siri operasi ketenteraan tersebut berlaku di beberapa wilayah utama termasuk Nablus, Jenin, Tulkarem, Ramallah, dan Hebron.

Serbuan Meluas dan Tangkapan

Di Nablus, pasukan keselamatan Israel menyerbu kawasan kejiranan Ras al-Ain serta menggeledah beberapa bangunan kediaman sebelum menahan lapan individu.

Serbuan berasingan turut dicatatkan di beberapa lokasi lain:

Tiga Kediaman Diroboh Alasan ‘Tiada Permit’

Dalam kejadian berasingan, tentera Israel yang diringi jentolak bertindak memusnahkan sebuah rumah di kampung Shuqba, barat Ramallah. Rejim mendakwa struktur berkenaan dibina tanpa permit di Kawasan C—wilayah yang merangkumi kira-kira 60 peratus Tebing Barat dan di bawah kawalan penuh Israel mengikut Perjanjian Oslo II 1995.

Di selatan Tebing Barat, jentolak rejim turut merobohkan dua lagi kediaman penduduk Palestin di kampung Deir Razih, timur Dura dalam wilayah Hebron atas alasan yang sama.

“Rakyat Palestin menegaskan pihak berkuasa Israel sengaja mengenakan syarat kelulusan permit yang mustahil dipenuhi, manakala projek penempatan haram Yahudi terus diperluas secara agresif di tanah jajahan,” menurut sumber tempatan.

Lebih 700 Struktur Dimusnahkan Tahun Ini

Data daripada Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin menunjukkan rejim Israel telah melancarkan 341 operasi perobohan pada separuh pertama tahun ini. Tindakan tersebut menyaksikan 740 struktur milik rakyat Palestin dimusnahkan dan menjejaskan kehidupan 923 penduduk, selain 254 notis perobohan baharu dikeluarkan.

Di bawah Konvensyen Geneva Keempat, undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara tegas melarang sebarang pemusnahan harta benda awam oleh kuasa penduduk melainkan atas keperluan ketenteraan yang mendesak.

Sejak ketegangan memuncak pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 1,182 rakyat Palestin terkorban, kira-kira 13,000 cedera, dan hampir 24,000 individu ditahan di seluruh Tebing Barat.

Sumber: Agensi Anadolu (AA) / TRT World

Exit mobile version