Israel Tahan Ahli Akademik, Wanita; Peneroka Haram Cedera Lapan Warga Palestin

Situasi di Tebing Barat yang diduduki terus tegang apabila tentera Israel dilaporkan menahan 11 warga Palestin, termasuk seorang ahli akademik dan seorang wanita, dalam serbuan semalaman. Dalam kejadian berasingan, lapan lagi rakyat Palestin cedera akibat serangan oleh peneroka haram Israel.

Menerusi laporan TRT World yang memetik sumber Agensi Anadolu, serbuan pihak berkuasa Israel itu dilancarkan di beberapa lokasi di seluruh Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis Timur.

Menurut Pejabat Media Tahanan, serbuan di Qalqilya menyaksikan tiga warga Palestin ditahan, sementara tiga lagi ditangkap di wilayah Bethlehem. Penahanan lain turut dilaporkan di Jaba (selatan Jenin), kampung Iktaba (timur Tulkarem) melibatkan seorang wanita, dan dua pemuda di kampung Qusra (selatan Nablus).

Pihak berkuasa Israel turut menahan seorang ahli akademik Palestin dari bandar Biddu, di barat laut Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Selain penahanan, tentera Israel juga menyerbu berpuluh-puluh rumah di kampung Madama di selatan Nablus, menyebabkan penduduk disoal siasat di lapangan.

Serangan Peneroka Haram Meningkat

Siri keganasan di wilayah itu bertambah parah dengan serangan peneroka haram ke atas rumah dan harta benda di Hebron dan Nablus, menyebabkan lapan warga Palestin cedera.

Aktivis Osama Makhamra memaklumkan di Yatta, selatan Hebron, kumpulan peneroka bersenjata menyerang rumah dan tanah pertanian di Wadi al-Rakhim dan Khallet al-Hummus. Empat rakyat Palestin cedera akibat terkena gas lada dalam serangan itu. Peneroka juga bertindak mencabut kira-kira 60 pokok dan menutup jalan yang menghubungkan kedua-dua kawasan tersebut.

Sementara itu, ketua majlis kampung Burin, Ibrahim Imran, melaporkan serangan oleh peneroka haram dari penempatan Yitzhar ke atas rumah seorang penduduk di kampung tersebut yang terletak di selatan Nablus. Kumpulan peneroka tersebut bertindak menyerang seorang lelaki dan tiga anak lelakinya serta merempuh dua kenderaan.

Implikasi Panjang Konflik

Menurut data rasmi Palestin, sejak 8 Oktober 2023, siri serbuan Israel dan serangan peneroka haram di Tebing Barat yang diduduki telah mengakibatkan:

Pihak Palestin telah berulang kali mengeluarkan amaran bahawa rentetan serangan ini adalah sebahagian daripada rancangan Israel untuk secara rasmi mengilhak (annex) Tebing Barat yang diduduki. Tindakan ini, tegas mereka, akan menamatkan sebarang kemungkinan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka di bawah resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sejarah konflik ini bermula apabila Israel ditubuhkan pada tahun 1948 di atas tanah yang diduduki oleh kumpulan Zionis bersenjata. Seterusnya, pada tahun 1967, Israel menduduki baki wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat, Gaza, dan bahagian timur Baitulmaqdis.

SUMBER: Agensi Anadolu

Exit mobile version