
Senator Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders, sekali lagi mengecam keras tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza dengan menegaskan rejim itu “tidak mempunyai hak untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai” terhadap rakyat Palestin.
Semasa berucap di satu perhimpunan di Minnesota, Sanders turut mendesak agar pentadbiran Washington menghentikan sebarang saluran dana dan bantuan kewangan daripada pembayar cukai AS kepada Israel.
“Kerajaan ekstremis Netanyahu di Israel tidak sepatutnya mendapat walau satu sen pun daripada pembayar cukai AS,” kata Sanders ketika mengkritik tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Kecam Kemusnahan Infrastruktur dan Angka Korban
Sanders menegaskan bahawa tindakan Tel Aviv melancarkan perang habis-habisan ke atas wilayah berkenaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat antarabangsa.
“Ia tidak mempunyai hak untuk membunuh lebih 73,000 rakyat Palestin yang sebahagian besarnya merupakan wanita, kanak-kanak, dan warga emas. Ia tidak mempunyai hak untuk mencederakan lebih 173,000 orang.
“Israel juga tidak mempunyai hak untuk memusnahkan hampir keseluruhan infrastruktur Gaza—daripada sekolah, kemudahan kesihatan, sistem air bersih, loji pemprosesan air sisa, sehinggalah ke grid elektrik. Malah, 92 peratus unit kediaman di Gaza telah rosak atau hancur,” tambah beliau lagi.
Pencabulan Gencatan Senjata Berterusan
Kenyataan keras Sanders itu dibuat di tengah-tengah siri pencabulan perjanjian gencatan senjata yang telah dimeterai sejak 10 Oktober 2025.
Meskipun kesepakatan itu berkuat kuasa, kementerian kesihatan mengesahkan bahawa serangan harian tentera Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,168 lagi rakyat Palestin dan mencederakan 3,798 yang lain.
Pencerobohan berterusan sejak Oktober 2023 tersebut kini meninggalkan kesan kemanusiaan yang amat parah ke atas 2.4 juta penduduk Gaza yang terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan.
— Anadolu & Agensi