JKNJ Nafi Dakwaan Hospital Segamat Akan Ditutup

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial bahawa Hospital Segamat akan ditutup bermula 1 Julai ini.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad, menegaskan bahawa hospital berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang penutupan premis akan dilakukan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Walau bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa JKNJ mengambil maklum mengenai sebuah surat penangguhan bagi rujukan kes-kes Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di hospital tersebut yang turut tersebar di platform digital.

“JKNJ sedang meneliti dan memuktamadkan pengaturan perkhidmatan di Jabatan O&G Hospital Segamat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berterusan kepada masyarakat.

“Status terkini serta perancangan lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, JKNJ sentiasa komited bagi memastikan sebarang langkah penyusunan semula perkhidmatan serta pengoptimuman sumber manusia dilaksanakan secara terancang. Langkah ini penting bagi menjamin kelangsungan operasi hospital dan memastikan kesinambungan rawatan serta perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat.

Sebelum ini, tular satu hantaran oleh pemilik akaun di aplikasi Threads yang mendakwa Hospital Segamat terpaksa ditutup ekoran masalah kekurangan doktor dan petugas kesihatan.

(Sumber: BERNAMA)

Exit mobile version