
Gelombang pencerobohan dan serangan oleh tentera serta peneroka haram Israel terus merebak di beberapa kawasan di Tebing Barat yang diduduki, menyaksikan seorang kanak-kanak Palestin menderita kecederaan ditembak manakala dua lelaki lagi ditahan dalam serbuan lewat Sabtu.
Kanak-kanak berkenaan dilaporkan ditembak di bahagian kaki oleh pasukan tentera Israel semasa serbuan berhampiran kawasan kejiranan Kafr Saba di bandar Qalqilya. Manakala dua warga Palestin masing-masing ditahan di Hebron dan Taybeh (timur Ramallah), di samping kenderaan salah seorang daripada mereka turut dirampas.
Di Hebron, beratus-ratus peneroka haram Israel yang dikawal ketat oleh pihak tentera memasuki Bandar Lama, menggeledah premis perniagaan serta memaksa pemilik kedai menutup perniagaan mereka. Sebuah rumah kediaman warga Palestin di Jalan Al-Shuhada turut diserang sehingga merosakkan tingkapnya.
Keganasan peneroka haram ini turut menyasarkan sektor pertanian apabila penduduk Palestin yang sedang menuai hasil zaitun di barat Jenin diserang. Sebuah traktor dan sejumlah besar hasil tanaman zaitun dirampas. Insiden kecurian barang serta serangan fizikal terhadap penduduk Palestin turut dilaporkan berlaku di Kisan, timur Bethlehem.
Siri serbuan tentera yang diiringi tembakan bom tangan pegun dan gangguan lalu lintas turut dilaporkan berlaku di pelbagai kawasan seperti Tulkarem, Bethlehem, Nablus, Tubas, Jenin, dan Ramallah. Pertempuran dan pencerobohan agresif ini merupakan sebahagian daripada kempen penindasan yang dipergiatkan di Tebing Barat sejak Oktober 2023.
Sumber Maklumat: TRT World & Agensi