
Tragedi menyayat hati menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun apabila maut dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya sendiri di Kampung Padang, Tanjung Sedili pada Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5. Nenek mangsa, Mahani Mad Som, menunjukkan kawasan alur sungai kira-kira 300 meter dari rumahnya di mana cucunya ditemukan maut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, memaklumkan bahawa lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai mencampak mangsa sebelum bertindak mengamuk serta mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun dengan bersenjatakan parang.
“Polis menerima laporan kira-kira 9.30 pagi berhubung kejadian suspek mengamuk dan mengejar lelaki terbabit. Bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan, namun suspek akhirnya berjaya ditahan,” kata beliau dalam kenyataan rasmi.
Suspek Dipercayai Hadapi Masalah Kesihatan Mental
Yusof menjelaskan bahawa pembantu pegawai perubatan telah mengesahkan kematian kanak-kanak berkenaan di lokasi. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang bagi proses bedah siasat.
Suspek dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental. Kes kini disiasat secara terperinci mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: BERNAMA