Kedah Kekalkan Dominasi Pecut Berpasukan Kejohanan Trek Kebangsaan

Pelumba berbasikal trek wanita kebangsaan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, terus membuktikan ketajaman taringnya dalam acara pecut berpasukan wanita elit apabila berjaya membantu skuad Kedah merangkul gelaran kebangsaan buat kali kelima berturut-turut. Kejayaan gemilang ini dilakar pada hari pertama Kejohanan Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Trio Kedah yang turut dibarisi oleh Nurul Nabilah Mohd Asri dan Nur Fitrah Shaari mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mencatatkan masa terpantas 50.912 saat (s) sekali gus mempertahankan gelaran kejuaraan yang dimenangi mereka pada edisi sebelum ini.

Pingat perak dalam acara tersebut menjadi milik pasukan Selangor yang diwakili oleh gandingan Yong Ann Tung, Yong Ann Yii, dan Yeong Zhen Yi dengan catatan masa 52.626s. Sementara itu, pingat gangsa disambar oleh Terengganu menerusi kayuhan Dahlia Hazwani Hasyim, Ameera Alla Md Zahiruddin, dan Nur Aerin Wadhiah Mohd Adni yang merekodkan masa 53.181s.

Memburu Mata Ke Kejohanan Dunia Shanghai

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Nurul Izzah meluahkan rasa syukur dan menyifatkan kemenangan ini cukup bermakna buat pasukan Kedah. Hal ini kerana Kedah hanya mempertaruhkan seorang sahaja pelumba dari skuad kebangsaan berbanding pasukan pencabar utama seperti Selangor dan Pulau Pinang yang memiliki kelebihan beberapa orang atlet kebangsaan.

“Alhamdulillah, hari ini kami dapat pingat emas untuk Kedah. Kami berjaya mencatat masa 50 saat dan itu keputusan yang baik untuk kami. Memang kami tahu saingan kali ini sukar, jadi saya sangat bersyukur dengan keputusan ini,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan.

Beliau turut menambah bahawa kejohanan kebangsaan kali ini menjadi medan kritikal buat dirinya untuk mengutip mata kedudukan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Mata tersebut amat penting bagi merealisasikan impiannya melayakan diri ke Kejohanan Dunia di Shanghai, China pada tahun ini.

Selangor Rajai Kategori Lelaki Elit

Dalam kategori lelaki elit, skuad Selangor pula muncul juara bagi acara pecut berpasukan selepas trio mereka yang dibarisi Muhammad Darwish Hakim Zain, Yung Liang, dan Muhammad Fadhli Mohd Zonis mencatat masa terpantas 46.847s.

Johor yang mempertaruhkan gandingan Mohamed Faris Hilman Mohamed Farook, Ahmad Daniel Harb Alhaj Ahmad Rifaie, dan Ahmad Zharif B Ahmad Nazar terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas merekodkan masa 46.971s. Tempat ketiga dan pingat gangsa pula diraih oleh Negeri Sembilan menerusi catatan masa 49.349s yang digerakkan oleh Muhammad Luqman Haqim Al Badrun, Fiqh Harim K. Fazil, dan Muhammad Zafrul Mohd Syukry.

Pelumba Selangor, Muhammad Fadhli, menyatakan bahawa kejayaan pasukannya dibantu oleh kayuhan yang konsisten serta keupayaan mereka untuk mengambil peluang atas ketiadaan beberapa pelumba elit Johor yang lazimnya menjadi pencabar terdekat mereka.

“Sudah tentu kami mengambil peluang yang ada. Johor tidak menurunkan beberapa pelumba elit mereka kali ini, tetapi pada masa sama kami tetap perlu memberikan kayuhan terbaik kerana saingan masih sengit. Apa yang penting ialah kami fokus kepada prestasi sendiri dan berjaya melaksanakan perancangan perlumbaan dengan baik untuk meraih emas,” katanya.

(Sumber: BERNAMA)

Exit mobile version