
Pencapaian kontinjen Malaysia meraih tempat ketiga di WorldSkills Asia (WSA) Taipei 2025 menunjukkan anak muda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara memiliki kemahiran bertaraf dunia dan mampu bersaing dengan negara terbaik di Asia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kejayaan itu menjadi satu lagi detik manis bagi Malaysia dan mengangkat martabat TVET sebagai pemacu pembangunan kemahiran negara ke peringkat serantau.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh kontinjen negara yang berjaya mengangkat Malaysia ke tempat ketiga dalam WorldSkills Asia Taipei 2025. Alhamdulillah, satu lagi pencapaian yang manis dan membanggakan buat Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa anak-anak muda TVET kita memiliki kemahiran bertaraf dunia dan mampu berdiri setanding dengan negara-negara terbaik di Asia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid menambah kemenangan tersebut membuka lembaran baharu dalam pembangunan kemahiran negara dan menunjukkan potensi besar TVET sebagai sektor strategik masa depan.
“Malaysia boleh! Anda telah membanggakan Malaysia,” katanya, yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.
Kontinjen Malaysia menamatkan cabaran di WSA Taipei 2025 pada Ahad dengan meraih 17 pingat keseluruhan, termasuk lima emas, lima perak, empat gangsa dan tiga Medallion for Excellence. Sebanyak 25 peserta TVET negara bertanding dalam acara yang berlangsung dari 27 hingga 30 November lepas, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia dalam bidang kemahiran.
Edisi Taipei tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 500 peserta dari lebih 35 negara dan wilayah Asia, menjadikannya antara pertandingan kemahiran terbesar di rantau ini.
Sumber: BERNAMA