
Buat julung-julung kalinya, Kejohanan Bola Jaring Remaja Negeri Sembilan (NSYNC) 2026 yang bertemakan The Next Wave akan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pada Ahad ini, menghimpunkan lebih 500 atlet dan pegawai daripada 40 pasukan.
Pengarah Program NSYNC, Datin Yusrini Ayu Datuk Mohd Yusuf, berkata kejohanan terbesar di negeri ini dianjurkan oleh syarikat kecergasan dan sukan berjenama Peloh menerusi Kelab Bola Jaring 9Orchids, dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sembilan dan Persatuan Bola Jaring Negeri Sembilan (PBJNS).
Kejohanan yang mempertandingkan empat kategori umur—Bawah 12 Tahun (U12), Bawah 15 Tahun (U15), Bawah 18 Tahun (U18), dan Bawah 23 Tahun (U23)—ini bertujuan merapatkan jurang bakat peringkat akar umbi serta menyediakan platform berstruktur untuk menyaring bakat muda ke peringkat pemilihan negeri yang lebih tinggi.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila pendaftaran bagi kategori U12, U15, dan U18 telah habis dijual, manakala kategori U23 kini mencapai 70 peratus penyertaan. Kejohanan ini turut menarik minat pasukan dari luar negeri seperti Melaka, Johor, Kedah, Kuala Lumpur, dan Selangor.
Kejohanan yang dijadualkan bermula dari jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang itu akan dilangsungkan secara serentak di empat gelanggang standard kebangsaan dan dijangka menarik kehadiran lebih 2,000 penonton.
Sumber: Bernama