Kejohanan Dunia 2025: Herry Manfaat Analisis Video Mantapkan Strategi Beregu Negara

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, memanfaatkan analisis rakaman video sebagai pendekatan utama dalam memperhalusi strategi skuad kebangsaan menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris yang bakal bermula 25 Ogos ini.

Herry berkata, kaedah itu bukan sahaja membantu beliau mengenal pasti kelebihan dan kelemahan pasangan lawan, malah turut memberi gambaran jelas mengenai aspek yang perlu diperbaiki oleh pemain negara.

“Biasanya saya gunakan analisis video untuk berbincang bersama pemain dalam merangka strategi menghadapi lawan. Dari situ kita boleh lihat ruang kelemahan yang perlu ditutup dan peluang yang boleh dimanfaatkan. Kadang-kadang, perbezaan kecil itulah yang menentukan kemenangan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Menurutnya, rakaman video yang dianalisis mestilah terkini memandangkan corak permainan pemain boleh berubah mengikut latihan dan kejohanan semasa.

“Tidak boleh hanya guna rakaman lama kerana prestasi pemain berubah. Sebab itu kita rujuk rakaman terbaru, seperti di Terbuka Jepun dan Terbuka China bulan lepas,” jelasnya.

Malaysia akan menurunkan empat wakil beregu lelaki di kejohanan dunia kali ini iaitu pasangan utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King serta pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Pada edisi 2022, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah apabila menjadi wakil pertama negara meraih pingat emas dunia selepas menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Mengulas lanjut, Herry meletakkan harapan besar kepada gandingan ranking ketujuh dunia, Wei Chong-Kai Wun, untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir, sekali gus berpotensi bertemu pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, yang menyingkirkan mereka di Terbuka Jepun baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan persiapan skuad negara sedikit terganggu apabila Wan Arif mengalami demam, namun pemain itu kini dilaporkan semakin pulih.

– Bernama

Exit mobile version