
Pasukan bola sepak Bundesliga, FSV Mainz 05, gagal dalam rayuan mahkamah terhadap keputusan yang memihak kepada pemain Belanda, Anwar El Ghazi, selepas kelab itu menamatkan kontraknya kerana kenyataan pro-Palestin yang dibuat di media sosial.
Mahkamah Buruh Negeri Rhineland-Palatinate menolak rayuan Mainz dan mengekalkan keputusan terdahulu yang dibuat pada musim panas 2024, yang mengisytiharkan pemecatan El Ghazi sebagai tidak sah. Dalam kenyataannya di laman web rasmi, kelab itu mengesahkan bahawa keputusan tersebut bermakna El Ghazi berhak menerima gaji yang telah dipersetujui dalam kontrak.
Mahkamah berpendapat kenyataan El Ghazi di media sosial termasuk dalam skop kebebasan bersuara dan oleh itu, pemecatan tanpa notis dianggap tidak wajar.
El Ghazi sebelum ini digantung dan diberi amaran oleh pihak kelab pada Oktober 2023 selepas beliau memuat naik frasa “From the river to the sea, Palestine will be free” di Instagram, yang dianggap sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan Palestin. Walaupun menerima tekanan, pemain itu mempertahankan pendiriannya dan menulis di platform X (dahulu Twitter): “Berdiri untuk apa yang benar, walaupun ia bermakna berdiri sendirian.”
Beliau menambah bahawa kehilangan kerjayanya tidak seberapa berbanding penderitaan rakyat Gaza. “Kehilangan mata pencarian saya tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan neraka yang ditimpakan kepada orang yang tidak bersalah dan terdedah di Gaza,” katanya.
Selepas pemecatan pada November 2023, El Ghazi menjadi ejen bebas dan kemudian mengumumkan bahawa beliau akan mendermakan sebahagian daripada pembayaran gajinya kepada kanak-kanak di Gaza.
Pengerusi Mainz, Stefan Hoffman, berkata kelabnya akan menerima keputusan mahkamah itu dan tidak akan membuat rayuan lanjut.
Sumber: AA