
Kerajaan mengekalkan pendekatan yang seimbang dalam kemasukan ke program matrikulasi dengan mengambil kira kecemerlangan akademik serta keperluan golongan kurang berkemampuan demi memastikan akses pendidikan yang lebih adil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberikan peluang kemasukan secara automatik tanpa mengira latar belakang kaum.
“….yang paling pandai, yang dapat 10A, kita bagi automatik masuk, kaum Cina, India atau Melayu.
“Pada masa sama, kuota bumiputera terus dikekalkan dengan mengambil kira faktor demografi serta keperluan membantu pelajar dari kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) di Paroi, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Bantuan Berasaskan Keperluan, Bukan Warna Kulit
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus membantu golongan miskin merentasi semua kaum atas dasar keadilan sosial.
“Kalau ada orang India miskin atau Cina miskin, kita bantu. Apa ruginya kita berlaku adil kepada semua yang memerlukan,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Anwar menyeru rakyat supaya menghayati semula cogan kata “Bersekutu Bertambah Mutu” yang diperkenalkan sejak awal kemerdekaan. Beliau mengingatkan bahawa Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memilih cogan kata itu kerana memahami realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, di mana perpaduan merupakan asas kedamaian dan kemakmuran negara.
Peringatan Buat Generasi Muda & Martabat Bahasa
Perdana Menteri turut memberi amaran kepada generasi muda agar tidak terpengaruh dengan politik perkauman dan agama yang dimainkan pihak tertentu demi kepentingan sempit.
“Saya sudah tua, saya pernah melihat bagaimana isu kaum boleh menggugat keharmonian negara, jangan ulangi kesilapan itu, tiada jalan lain selain kita bersatu dan bermuafakat,” pesan beliau.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan kekal komited memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara, di samping tidak menafikan hak rakyat untuk menguasai bahasa-bahasa lain seperti bahasa Cina, Tamil, Inggeris, dan Arab.
Sumber Informasi: BERNAMA