Kerajaan MADANI Perhalusi Tambah Jumlah Bantuan STR, SARA – PM Anwar

Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan untuk meningkatkan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekiranya keadaan ekonomi negara mengizinkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa perkara berkenaan telah pun dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, dan bakal dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan akan datang.

“Jadi ini saya katakan ikhtiar yang terus kita lakukan… yang dapat STR, SARA…. saya beritahu kalau keadaan ekonomi mengizinkan, saya telah bincang semalam, Sabtu petang… saya panggil juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bincang apakah mungkin kita tambah lagi.

“Dalam Belanjawan, saya fikir bagaimana nak tambah peruntukan untuk bantu rakyat,” kata beliau ketika berucap pada Program MADANI KITA Bersama Komuniti Tambun anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah RELA, Datuk Rosli Yaakub.

Kebajikan Anggota RELA Terus Terbela

Anwar, yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan menegaskan, pihak kerajaan sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap aspek kebajikan pasukan keselamatan negara, termasuklah anggota RELA yang sentiasa komited membantu menyelesaikan krisis keselamatan serta bencana.

Sebagai menghargai sumbangan besar pasukan itu, beliau mengumumkan peruntukan bernilai RM3 juta bagi memelihara kepentingan dan kebajikan anggota RELA untuk tahun ini.

“RELA ini juga mempunyai peranan yang besar… selain daripada jaga keselamatan, juga menyantuni rakyat… jadi, kita luluskan tahun lepas RM3 juta ya, tapi tentunya tak cukup.

“Jadi, untuk jaga kepentingan RELA, saya setuju teruskan program itu dan tahun ini, kita bagi RM3 juta untuk kebajikan RELA,” tambah beliau.

— BERNAMA

Exit mobile version