Kerajaan, NGO selaras usaha bantu Palestin — Dr Zulkifli Hassan

Mesyuarat strategik bersama NGO seperti Ops Ihsan, Sumud Nusantara dan Freedom Flotilla Coalition sebagai langkah penting menyelaras bantuan kemanusiaan

KUALA LUMPUR – Sebagaimana dijanjikan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pembentangan Belanjawan 2026 telah memanggil satu mesyuarat khas bagi meneruskan program bantuan ke Gaza dari kerajaan Malaysia menerusi pelbagai NGO.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan yang menghadiri mesyuarat berkenaan, menyifatkan pertemuan strategik yang dipengerusikan oleh PM bersama rangkaian masyarakat sivil Malaysia itu adalah langkah penting dalam menyelaras tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan selepas rejim Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

Dr Zulkifli berkata, mesyuarat yang turut dihadiri oleh NGO seperti Ops Ihsan, Sumud Nusantara dan Freedom Flotilla Coalition menjadi wadah penyatuan antara kerajaan dan masyarakat sivil dalam memperkukuh koordinasi bantuan serta pelan jangka panjang pembinaan semula Gaza.

“Pertemuan ini sangat strategik bagi menyelaras tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin. Semua NGO yang hadir sememangnya berpengalaman luas dengan kerja kemanusiaan termasuk di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sinergi antara kerajaan, sektor korporat dan rakan antarabangsa seperti Mesir, Jordan, Turkiye, Qatar dan Jepun adalah penting bagi memastikan setiap inisiatif bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa sesi pertemuan bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Putrajaya pada 16 Oktober 2025. Kredit foto FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.
“Usahasama kerajaan, masyarakat sivil, sektor korporat serta hubungan antara negara seperti Mesir, Jordan, Turkiye, Qatar dan Jepun amat penting bagi memperkukuhkan lagi inisiatif yang ingin dilaksanakan,” ujar beliau.

Dr Zulkifli turut menekankan bahawa pelan bantuan dan pembinaan semula Gaza dari Malaysia mesti dilaksanakan secara teliti agar segala sumber sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Pelan bantuan termasuk perancangan untuk pembinaan semula Gaza dari Malaysia mesti dikoordinasi dengan teliti dan berkesan agar setiap bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukanpembangunan dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya lagi.

Dalam pertemuan tersebut, PM turut berkongsi perkembangan terkini mengenai usaha diplomatik dan kemanusiaan Malaysia, di samping memberi pencerahan berhubung dinamika geopolitik Asia Barat.

“PMX berkongsi usaha dan perkembangan terkini serta memberikan pencerahan dari sudut geo-politik. Dapat juga mendengar cerita pengalaman PMX sejak dari era belia bersama ABIM dan WAMY, dalam memperjuangkan isu Palestin,” kata Dr Zulkifli.

Beliau menegaskan, komitmen Malaysia terhadap Palestin kekal utuh di bawah kerangka Malaysia Madani, yang menitikberatkan nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti umat. – Suara Keadilan
Exit mobile version