
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan komitmennya untuk memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia susulan pengumuman rasmi oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai syarat kesihatan bagi musim haji 1447H/2026M.
Menurut kenyataan TH, antara syarat utama yang ditetapkan adalah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal. Hanya individu yang berupaya mengendalikan ibadah haji dengan sendiri dan tidak mengalami masalah kesihatan kronik seperti kegagalan buah pinggang, penyakit jantung, paru-paru atau hati kronik, masalah neurologi yang menjejaskan fungsi kognitif, serta penyakit berjangkit aktif akan dipertimbangkan bagi kelulusan visa haji.
Turut tidak dibenarkan adalah jemaah yang mengalami dementia, fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi atau sedang menjalani rawatan penyakit kanser.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad, berkata keselamatan, keselesaan dan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap operasi pengurusan haji tahunan.
“TH memandang serius aspek kesihatan para jemaah, terutama ketika berada di Tanah Suci. Setiap tahun, TH memperuntukkan sebahagian besar petugas kesihatan yang terdiri daripada anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan kesinambungan rawatan terbaik kepada jemaah,” jelas beliau.
Klinik Kesihatan di Mekah dan Madinah Diteruskan
Bagi musim haji 1447H/2026M, TH akan terus menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah, lengkap dengan kemudahan pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan oleh petugas kesihatan bertauliah KKM.
Namun begitu, bagi musim kali ini, TH tidak lagi dibenarkan membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci. Jemaah yang memerlukan rawatan lanjutan akan dirujuk ke hospital-hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan rapi pakar-pakar KKM.
Sebagai langkah tambahan, TH turut merancang kemudahan kesihatan sementara di hospital tempatan Arab Saudi sekiranya perlu, dengan kerjasama KKM yang menempatkan seramai 225 petugas kesihatan bagi musim haji tahun hadapan.
Pemeriksaan Kesihatan Wajib
Menurut Mustakim, keperluan tahap kesihatan yang baik merupakan salah satu syarat utama kemampuan menunaikan haji (istito’ah) yang ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM sebelum menerima tawaran haji,” katanya.
TH turut menasihatkan semua bakal jemaah supaya membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya memandangkan mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang panjang serta menghadapi keadaan cuaca panas dan berdebu.
“TH akan terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi setiap jemaah haji negara,” tegas Mustakim.