Ketegangan AS-Cuba: Cuba Ikrar Berjuang ‘Hingga Titisan Darah Terakhir’ Depani Ancaman Trump

Cuba menegaskan kesediaannya untuk menentang sebarang bentuk campur tangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS) dan berikrar akan mempertahankan kedaulatan negara itu “hingga ke titisan darah terakhir.”

Amaran keras tersebut disuarakan oleh Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, dalam satu temu bual eksklusif bersama Sky News semalam, susulan ancaman terbaharu yang dilemparkan oleh Presiden AS, Donald Trump.

“Jika berlaku sebarang serangan, rakyat Cuba akan bertindak balas dengan penuh perpaduan dan ketegasan demi mempertahankan kedaulatan kami. Kami tidak mahukan peperangan, tetapi kami sedikit pun tidak gentar menghadapinya,” tegas Diaz-Canel.

Selar Taktik Peperangan Psikologi Washington

Mengulas mengenai dakwaan Trump yang menuduh Cuba sengaja “menentang” Washington, Diaz-Canel membidas retorik berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap maruah rakyat Cuba serta pelanggaran undang-undang antarabangsa yang terang-terangan.

Beliau menuduh pentadbiran AS sengaja melancarkan strategi melampau yang didorong oleh manipulasi media serta agenda peperangan psikologi.

Bagi menggambarkan tekad negaranya, beliau memetik kata-kata keramat pejuang kemerdekaan abad ke-19 Cuba, Antonio Maceo, yang menyatakan bahawa sesiapa yang cuba merampas Cuba hanya akan mendapat debu tanahnya yang berlumuran darah.

Presiden Cuba itu turut mengimbau pengorbanan 32 warganya yang terkorban dalam operasi ketenteraan AS semasa penahanan Presiden Venezuela Nicolas Maduro, dan menegaskan semangat pengorbanan heroik sedemikian mampu digandakan oleh jutaan rakyat di Cuba ketika ini.

Nafikah Pangkalan Tentera China dan Rusia

Dalam temu bual tersebut, Diaz-Canel turut menjawab beberapa isu panas yang melibatkan dasar luar dan sekatan ekonomi negara itu:

Meskipun berdepan tekanan hebat daripada kuasa besar itu, Diaz-Canel menyatakan pihak Havana sentiasa bersedia untuk mengadakan rundingan dan dialog terbuka dengan Washington. Namun, beliau menegaskan sebarang perbincangan mestilah dibuat tanpa syarat terdahulu serta berpaksikan rasa hormat terhadap kedaulatan dan sistem politik Cuba.

Agensi Berita Anadolu (AA)

Exit mobile version