
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, mengkritik keras sikap sesetengah pihak di Eropah yang didakwa menutup mata dan acuh tak acuh terhadap kesengsaraan berterusan rakyat Palestin.
Sambil meluahkan kebimbangan mendalam, beliau menegaskan bahawa penderitaan masyarakat Palestin sering kali dipinggirkan dan diabaikan dalam kancah perdebatan politik di benua berkenaan.
“Kesakitan rakyat Palestin tidak diendahkan, malah ada kalanya langsung tidak dipedulikan dalam perdebatan di Eropah. Terdapat juga proses tidak memanusiawakan (dehumanisation) yang berlaku seiring dengannya,” kata Turk semasa berucap di hadapan ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Eropah di Brussels.
Dunia Hadapi Lebih 60 Konflik Global
Menurut Turk, dunia kini sedang berhadapan dengan lebih daripada 60 konflik bersenjata. Ironinya, sebahagian besar daripada krisis ini gagal mendapat perhatian masyarakat antarabangsa biarpun impak kemanusiaan yang ditinggalkan amat dahsyat.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan membiarkan jumlah korban orang awam yang tidak sepadan dengan objektif ketenteraan berisiko mewujudkan satu ‘normal baharu’ yang sangat berbahaya.
“Jika kita mula menerima korban dalam kalangan orang awam atas alasan untuk mencapai matlamat ketenteraan, kita sebenarnya sedang mencipta satu standard baharu yang mendatangkan mudarat, yang kelak boleh digunapakai oleh mana-mana pihak lain yang sedang berperang,” jelasnya lagi.
Kebimbangan Terhadap Isu Berpilih Dan Sikap Berpuak
Turk turut menempelak tindakan beberapa buah negara yang bertindak sesuka hati tanpa memikirkan sebarang hukuman, seolah-olah undang-undang antarabangsa itu sekadar satu pilihan.
Beliau menggesa para pemimpin politik supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak menggunakan kenyataan atau imej yang boleh merendahkan martabat sesuatu komuniti, sekali gus mengelakkan kumpulan tertentu daripada dijadikan kambing hitam.
Sebagai jalan penyelesaian, Turk menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti kekal menjadi paksi utama dalam menangani sebarang konflik bagi memastikan tiada pendekatan terpilih atau amalan dwistandard berlaku.
“Undang-undang antarabangsa adalah jaminan terbaik kita untuk mengelakkan amalan dwistandard atau sikap memilih (selectivity),” ulas beliau menutup bicara. — Agensi Anadolu / TRT World