Laporan Awal Pengurusan dan Kerugian FELDA Didedah Minggu Depan — PM Anwar

Laporan awal berhubung isu pengurusan dan kerugian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dijangka diumumkan minggu depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa penemuan laporan itu bukan bertujuan untuk membalas dendam, sebaliknya merupakan langkah kerajaan dalam menangani permasalahan yang berlaku mengikut lunas dan proses undang-undang yang sah. Anwar turut menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan mana-mana individu disiasat atau didakwa, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kebebasan tersebut kepada institusi berkaitan dan pihak kehakiman.

“Minggu depan, mula laporan awal tentang FELDA. Kata ini dendam, dendam apa? Salah guna kuasa apa? Apa saya boleh bercakap dengan pendakwa, beri pandangan kepada hakim? Tidak ada. Ketua Hakim penuh kebebasan dan wibawa untuk putuskan,” tegas Perdana Menteri semasa berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC).

Menampung Kerugian dan Kelulusan Peruntukan Rumah Pengurus

Anwar menjelaskan bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kerana setiap tahun sebanyak RM980 juta perlu disediakan bagi menampung kerugian agensi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM450 juta bagi kerja-kerja membaik pulih kediaman pengurus FELDA di seluruh negara yang didapati tidak diselenggara dengan baik sejak puluhan tahun lalu.

Cadangan Penambahbaikan dan Pelan Strategik

Pendedahan ini susulan langkah Jawatankuasa Khas Mengenai FELDA yang ditubuhkan sejak Jun tahun lepas untuk mengkaji Pelan Strategik FELDA 2025-2030. Jawatankuasa berkenaan dijangka mengemukakan laporan interim mengenai cadangan penambahbaikan kepada Perdana Menteri menjelang akhir bulan ini.

Kajian terperinci itu turut meneliti isu-isu utama seperti penyahsenaraian FGV Holdings Bhd serta kelemahan tadbir urus dalam perolehan dan pelaburan membabitkan lapan aset yang pernah dibangkitkan dalam Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat pada April 2019.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version