Laporan RCI Tabung Haji Untuk Pengajaran, Bukan Medan Pergaduhan Politik — Setiausaha Politik PM

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dijadikan platform untuk membuka semula perbalahan politik lama, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai pengajaran bagi memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin menegaskan bahawa kepentingan kira-kira 10 juta pendeposit Tabung Haji perlu diutamakan mengatasi sebarang agenda atau kepentingan politik parti.

“Sebab itu, kita perlu melihat RCI ini bukan sebagai dokumen untuk membuka semula pergaduhan politik lama, tetapi sebagai satu lesson to be learned (pengajaran yang perlu diambil) untuk memperbaiki institusi. Kalau RCI mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus, kita perbaiki tadbir urus. Kalau ada kelemahan dalam proses pelaburan, kita perkuatkan mekanisme pelaburan. Kalau ada ruang untuk campur tangan politik, kita tutup ruang tersebut,” tegasnya.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat

Mengulas mengenai Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang diadakan pada Selasa lepas, Azman berkata sidang tersebut menyediakan ruang formal kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk membincangkan dapatan laporan secara telus di samping memberi kefahaman kepada rakyat.

Beliau menyifatkan tindakan ahli parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan (walkout) semasa perbahasan tersebut sebagai amat mengecewakan, memandangkan sesi berkenaan merupakan peluang terbaik untuk memperjuangkan hak serta kepentingan pendeposit TH dan umat Islam di negara ini.

Laporan RCI berkenaan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas dengan mengandungi 25 syor penambahbaikan utama bagi memantapkan institusi pengurusan haji negara itu.

Sumber Utama: BERNAMA

Exit mobile version