Liga Super: Kelantan TRW Tumbangkan Sabah FC, Terengganu FC Menang Tipis Atasi DPMM FC

Kelantan The Real Warriors (TRW) FC berjaya mempertahankan kubu mereka daripada kebangkitan lewat Sabah FC untuk mencatatkan kemenangan 3-2 dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Pasukan tuan rumah memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila Alexandre Yeoule meledak gol pembukaan seawal minit keenam. Walaupun Darren Lok menyamakan kedudukan untuk Sabah FC tiga minit kemudian, Kelantan TRW terus garang dengan menambah dua lagi gol melalui tandukan Simen Alexander pada minit ke-16 dan penyudah tenang Asraf Aliffudin pada minit ke-23.

Sabah FC cuba bangkit pada separuh masa kedua dengan corak permainan lebih agresif, namun hanya mampu merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Ajdin Mujagic pada masa kecederaan (90+5). Keputusan 3-2 kekal hingga wisel penamat, memberikan tiga mata berharga buat skuad Pantai Timur itu.

Skuad Penyu Curi Mata Penuh

Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu FC (TFC) turut melakarkan kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil dari Brunei, DPMM FC.

Perlawanan yang berlangsung sengit itu menyaksikan larian solo menarik dari tengah padang oleh Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-42 menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan. Walaupun DPMM FC cuba melancarkan beberapa serangan balas melalui Miguel Oliveira, penjaga gol TFC, Muhammad Rahadiazli Rahalim, kental mempertahankan gawangnya.

Kemenangan ini membolehkan skuad kendalian pemangku jurulatih Tengku Hazman Raja Hassan mengekalkan momentum positif dalam saingan liga musim ini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version