
Serangan dron dan tembakan tentera Israel terus mengancam nyawa penduduk Palestin apabila sekurang-kurangnya lima lagi nyawa terkorban dan beberapa yang lain cedera dalam siri serangan terbaharu di seluruh Semenanjung Gaza.
Dalam kejadian terbaharu, sebuah dron milik tentera Israel bedil pusat perlindungan Al-Yaman Al-Saeed yang menempatkan pelarian di kem pelarian Jabalia, utara Gaza. Serangan itu mautkan seorang lelaki Palestin bersama anak perempuannya, selain mencederakan beberapa yang lain termasuk kanak-kanak, menurut sumber perubatan dan saksi tempatan.
Terdahulu, tiga lagi rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera selepas serangan dron menyasar kawasan berhampiran Hospital Lapangan British di Al-Mawasi, Khan Younis.
Menurut laporan media tempatan dan sumber hospital:
-
Khan Younis: Seorang lelaki cedera di tangan akibat ditembak tentera Israel sebelum dikejarkan ke Hospital Nasser.
-
Rafah: Seorang wanita dilaporkan mengalami keretakan tempurung kepala yang serius selepas ditimpa tembakan di bahagian kepala oleh pasukan rejim dan memerlukan pembedahan segera.
-
Al-Mawasi (Barat Rafah): Sebuah dron jenis quadcopter turut melancarkan alat letupan ke atas sebuah kediaman di kawasan Bardawil, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika pihak berkuasa Israel mengesahkan tentera mereka kini menduduki lebih 70 peratus wilayah enklaf berkenaan—peningkatan drastik berbanding 53 peratus semasa perjanjian gencatan senjata dicapai pada Oktober 2025.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, siri pencabulan gencatan senjata oleh pihak Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,158 rakyat Palestin dan mencederakan 3,756 yang lain sejak perjanjian tersebut dimeterai.
Data rasmi kementerian turut menunjukkan bahawa sejak pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel bermula pada 8 Oktober 2023, jumlah penderitaan warga Palestin terus meningkat dengan sekurang-kurangnya 73,250 nyawa terkorban manakala 173,751 lagi cedera. Selain itu, dianggarkan 90 peratus infrastruktur awam di Gaza kini berada dalam keadaan rosak atau hancur sepenuhnya.
— TRT World & Agensi