
Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Seberang Perai selepas menahan lima individu termasuk seorang wanita dalam satu operasi di Nibong Tebal pada Khamis lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata penahanan itu dilakukan susulan laporan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Bukit Tambun yang melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar pukul 3 pagi.
Menurut beliau, dua lelaki berkenaan dikesan memasuki beberapa buah rumah di kawasan perumahan tersebut sebelum pengawal keselamatan berkenaan bertindak membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Pasukan dari Balai Polis Bukit Tambun segera ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki di lorong 15 berhampiran kawasan berkenaan. Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan empat lagi suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Azizee berkata kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 47 tahun dipercayai terlibat dalam siri pecah rumah di sekitar Seberang Perai sejak pertengahan tahun ini.
Beliau berkata hasil tangkapan itu, polis merampas dua kereta iaitu Toyota Avanza dan Honda Civic Efi, tiga motosikal, lima telefon bimbit serta pelbagai peralatan pecah rumah. Pihaknya percaya kejayaan tersebut menyelesaikan sekurang-kurangnya 28 kes pecah rumah dengan anggaran kerugian melebihi RM100,000.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan rumah mewah yang berpagar keselamatan dengan bergerak secara berjalan kaki dan menggunakan alat pahat kecil untuk mengumpil pintu utama. Mereka turut memakai sarung tangan dan topeng muka bagi mengelak dikesan,” katanya.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber: Bernama