Macklemore Dikeluarkan Daripada Jelajah Ed Sheeran Selepas Laung ‘Bebaskan Palestin’

Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Macklemore, mengesahkan bahawa beliau telah dikeluarkan daripada siri konsert jelajah stadium penyanyi Ed Sheeran di AS susulan kenyataan pro-Palestin yang disampaikannya di atas pentas di Stadium MetLife, New Jersey.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, pemenang Anugerah Grammy itu mendedahkan bahawa beberapa venue persembahan di AS mengancam untuk melarang beliau beraksi sebagai penyanyi pembuka tirai bagi jelajah Loop Sheeran, sekali gus mendesak penganjur jelajah, Messina Touring Group, mengambil tindakan berkenaan.

Liputan Pentas Utama Jadi Pertikaian

Macklemore, yang terkenal dengan lagu-lagu hits global seperti Thrift Shop dan Can’t Hold Us, menegaskan bahawa penyingkirannya secara tiba-tiba berpunca daripada liputan meluas yang diterima apabila beliau menyuarakan sokongan di atas pentas utama bersama salah seorang artis terbesar dunia.

“Mengapa ia menjadi isu sekarang? Kerana saya berkongsi pentas dengan salah seorang artis terbesar di dunia di stadium-stadium terbesar di Amerika. Pada tahap pendedahan sedemikian, laungan ‘Bebaskan Palestin’ menjadi terlalu berisiko,” katanya.

Meskipun dikeluarkan daripada jelajah tersebut, penyanyi rap itu menegaskan beliau tidak menyimpan sebarang dendam atau rasa permusuhan terhadap Ed Sheeran. Beliau menganggap kehilangan pentas persembahan bukanlah satu kerugian sekiranya ia mampu mengalihkan semula perhatian dunia kepada krisis kemanusiaan di Palestin.

“Jika kata-kata itu menyebabkan saya kehilangan pentas, sambil mengalihkan perbualan kembali ke Palestin, maka ia adalah jelajah paling berjaya yang pernah saya sertai,” tambahnya.

Dedikasi Buat Hind Rajab

Insiden berkenaan berlaku pada 5 September lalu ketika Macklemore menyampaikan ucapan aluar-aluan sebelum menyanyikan lagu Hind’s Hall — lagu protes yang didedikasikan khas buat Hind Rajab, seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia enam tahun yang terbunuh bersama keluarganya akibat serangan tentera Israel di Bandar Gaza.

Semasa berucap di hadapan ribuan penonton di New Jersey, Macklemore turut menegaskan bahawa mesej yang dibawanya adalah mengenai keamanan dan nilai kemanusiaan sejagat:

“Kepada semua saudara dan saudari Yahudi saya, kritikan terhadap Israel, kritikan terhadap apartheid, dan bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai sama sekali bukan kritikan terhadap anda. Mesej ini adalah untuk keamanan, kasih sayang, serta agar semua manusia dilayan dengan bermaruah, hormat, dan saksama.”

Tindakan menyisihkan aktivis dan pengkarya pro-Palestin ini berlaku di tengah-tengah krisis pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang dilaporkan telah mengorbankan lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin.

Sumber Asal: TRT World / Agensi Berita / AP

Exit mobile version