
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 2 dan 3 Februari 2027 untuk perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan oleh ahli perniagaan Datuk Seri R. Jeyenderan terhadap penyanyi rap dan pempengaruh media sosial, Caprice.
Hakim Roslan Mat Nor turut menetapkan 7 April depan sebagai tarikh untuk pengurusan kes seterusnya. Peguam V. Muniandy, yang mewakili plaintif, mengesahkan tarikh tersebut dan memaklumkan peguam bagi pihak Caprice tidak hadir pada prosiding hari ini.
Pada 15 Oktober lepas, mahkamah telah memberikan injunksi inter-parte memihak kepada plaintif dan memerintahkan Caprice atau Ariz Ramli, membayar RM8,000 sebagai kos kepada Jeyenderan dalam tempoh dua minggu. Sebelumnya, pada 5 Ogos, Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi ad-interim dan memerintahkan defendan memadam semua hantaran fitnah di Instagram pada Julai.
Jeyenderan, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan, memfailkan saman pada 21 Julai lepas, mendakwa Caprice memuat naik hantaran yang mengaitkannya dengan aktiviti jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa bukti sahih. Menurut pernyataan tuntutan, hantaran tersebut bertujuan menimbulkan syak wasangka, kebencian awam dan tekanan sosial terhadap beliau, tanpa sebarang usaha mendapatkan pengesahan daripada plaintif.
Plaintif mendakwa tindakan Caprice jelas bertujuan mencemarkan nama baiknya dan memanfaatkan pengaruh besar Caprice di Instagram yang mempunyai lebih 1.5 juta pengikut. Akibat hantaran fitnah itu, Jeyenderan mendakwa reputasinya sebagai pakar perkapalan terjejas di peringkat global dan mengalami kerugian khas RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak sebagai penceramah utama di Dubai, Turkiye dan India.
Jeyenderan menuntut ganti rugi RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sumber: BERNAMA