Malaysia Layan Kunjungan Singapura Di Bukit Jalil, Lawan Palestin Di Stadium Sultan Ibrahim

Harimau Malaya bakal mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bulan depan sebagai persiapan menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Skuad bimbingan ketua jurulatih Peter Cklamovski akan turun menentang seteru serantau, Singapura, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 Sept, sebelum melayan kunjungan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 Sept.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi skuad kebangsaan (Malaysia NT) hari ini, kedua-dua perlawanan yang bermula pukul 9 malam itu dianggap ujian penting buat Harimau Malaya dalam menyusun strategi terbaik sebelum aksi kompetitif menentang Laos, Oktober nanti.

Malaysia, yang kini menghuni ranking ke-125 dunia, dijadual menentang Laos pada 9 dan 14 Okt, sebelum berdepan Nepal pada 18 Nov. Aksi terakhir kumpulan F akan menemukan skuad kebangsaan dengan Vietnam pada 31 Mac tahun depan.

Setakat ini, Malaysia mendahului Kumpulan F dengan enam mata penuh, diikuti Vietnam dan Laos yang masing-masing mengutip tiga mata, manakala Nepal berada di tangga tercorot tanpa sebarang kutipan mata.

Perlawanan persahabatan menentang Singapura dan Palestin bukan sahaja memberi peluang Cklamovski menilai tahap keserasian pemain, malah menjadi medan penting untuk memperkukuh taktikal pasukan sebelum cabaran getir di pentas kelayakan.

— BERNAMA

Exit mobile version