Malaysia Perkukuh Pembangunan Ekonomi Kreatif Menerusi Pelancaran CEDM

Malaysia terus memperkukuh pembangunan sektor ekonomi kreatif menerusi pelancaran Creative Economy Data Model (CEDM), yang bakal bertindak sebagai asas berasaskan bukti (evidence-based) dalam penggubalan dasar, perancangan pembangunan serta pengukuran impak sektor kreatif secara lebih berstruktur dan holistik.

Model data baharu berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kerjasama Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) sempena Forum Kebangsaan Pelancaran CEDM.

Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata pelaksanaan CEDM bertujuan melengkapkan kaedah pengukuran sedia ada dengan mengambil kira keseluruhan rantaian nilai ekonomi kreatif yang semakin dinamik. Ini berikutan perkembangan pesat transformasi digital, model perniagaan baharu serta integrasi teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI).

“Pendekatan kolaboratif ini diharap dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang memanfaatkan harta intelek, kreativiti dan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan,” jelas beliau dalam kenyataan rasmi selepas forum tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor ekonomi kreatif telah menyumbang sebanyak 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai mencecah RM130.7 bilion, di samping menyedia serta menyokong lebih 760,000 peluang pekerjaan.

Angka berkenaan membuktikan bahawa ekonomi kreatif kini tampil sebagai antara sektor strategik paling utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Inisiatif CEDM ini merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara MyIPO dan WIPO yang telah bermula seawal tahun 2008 menerusi Kajian Industri Berasaskan Hak Cipta Malaysia. Langkah ini juga selari dengan Pelan Strategik MyIPO NextGen yang memberi tumpuan kepada pengkomersialan harta intelek, pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, serta pengukuhan daya saing industri kreatif tempatan.

Sumber: Agensi Berita Rasmi

Exit mobile version