
Malaysia kini sedang merangka pelan nasional bagi mempercepat peralihan infrastruktur maklumat kritikal negara kepada teknologi kriptografi pascakuantum. Langkah strategik ini diambil bagi memantapkan pertahanan keselamatan siber serta mempersiapkan infrastruktur digital negara mendepani ancaman baharu impak perkembangan pengkomputeran kuantum.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengesahkan bahawa beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memulakan perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), serta pengendali perkhidmatan telekomunikasi. Kerjasama ini bertujuan menyediakan ruang penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus bagi menguji serta mempercepat penyelesaian penyulitan tahan kuantum secara terselaras dan selamat.
“Seiring perkembangan komunikasi kuantum, kerajaan dan pemain industri perlu membina keyakinan serta memastikan saling kendali melalui penggunaan piawaian bersama, pengujian peralatan, dan peralihan secara berperingkat kepada kriptografi tahan kuantum tanpa menjejaskan perkhidmatan penting,” kata beliau semasa menyampaikan kenyataan dasar Malaysia pada Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC).
Proses migrasi kuantum ini melibatkan penaiktarafan sistem penyulitan data sedia ada kepada penyulitan termaju yang mampu menangkis risiko pencerobohan sistem maklumat pada masa hadapan.
Beliau yang mengetuai delegasi negara ke persidangan antarabangsa dari 6 hingga 11 November itu turut diiringi oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran, bersama wakil MCMC dan syarikat telekomunikasi utama negara termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, serta U Mobile.
Sumber Maklumat: BERNAMA