Skuad hoki wanita kebangsaan Malaysia semakin hampir mengekalkan pingat emas Sukan SEA buat kali kesembilan berturut-turut selepas menumpaskan Singapura 9-0 dalam perlawanan separuh akhir edisi 2025 di Chonburi.
Dalam aksi di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Malaysian Tigress membuka jaringan seawal minit kedua melalui pukulan sudut penalti oleh Hanis Nadiah Onn, diikuti gol padang Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad pada minit keenam. Jurang jaringan terus melebar melalui dua gol Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-10 dan ke-11, satu melalui penalti strok dan satu lagi jaringan padang.
Dominasi Malaysia diteruskan dengan gol kelima oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-19, diikuti Siti Zulaikha Husain pada minit ke-37. Anith Humaira Baharudin mencetak dua gol hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-48 dan ke-59, manakala Siti Nur Atika Shaikh Maznan menjaringkan gol padang pada minit ke-55.
Kemenangan bergaya ini membawa Malaysian Tigress ke perlawanan akhir menentang Indonesia esok, yang mara ke final selepas menewaskan Thailand 2-0 melalui penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Ketua jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata kemenangan ini menyuntik semangat pemainnya untuk mengekalkan dominasi Malaysia dalam acara hoki padang wanita.
Sumber: BERNAMA