Melawan ‘Shadowban’: Bagaimana Anak Muda Boleh Menyuarakan Derita Palestin

Oleh: Muhammad Idraki Bin Shahriman

Di sebalik skrin telefon pintar yang kita tatap setiap hari, peperangan sedang berlaku dengan bentuk yang berbeza. Perang ini tidak melibatkan senjata fizikal mahupun peluru, sebaliknya ia digerakkan oleh baris-baris kod dalam komputer, sistem kecerdasan buatan dan kawalan algoritma. Di kala masyarakat antarabangsa menyaksikan penderitaan tanpa henti rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, satu lagi bentuk penindasan sedang berlaku secara senyap di alam maya. Fenomena ini dikenali secara meluas sebagai sekatan digital atau “shadowban”.

Bagi generasi muda hari ini, khususnya golongan Gen-Z dan Milenial yang menjadikan platform media sosial sebagai ruang utama untuk menyebarkan kesedaran kemanusiaan secara global. Sekatan digital ini menjadi satu cabaran yang amat mengecewakan disebabkan lambakan hantaran yang mengandungi maklumat penting atau bukti kezaliman kehilangan jumlah capaian secara drastik. Contohnya, kandungan video di aplikasi popular seperti TikTok yang kebiasaannya ditonton oleh ribuan pengguna secara tiba-tiba tersangkut pada angka paparan yang sangat rendah. Malah, terdapat banyak kes di mana akaun milik aktivis dan organisasi kemanusiaan digantung atau dipadam terus tanpa sebarang amaran daripada pihak penyedia platform. Persoalan utama yang perlu kita fikirkan bersama ialah adakah anak muda harus menyerah kalah kepada sekatan ini dan membiarkan naratif penderitaan Palestin hilang begitu sahaja?

Mengapa Suara Kita Disenyapkan?

Secara teknikal, shadowban adalah penapisan maklumat secara halus dan tidak telus. Melalui kaedah ini, pengendali platform media sosial tidak memadamkan hantaran pengguna secara terus tetapi mereka mengehadkan penyebaran kandungan tersebut daripada muncul di garis masa atau halaman utama pengguna lain. Proses penapisan ini dijalankan secara automatik oleh sistem kecerdasan buatan (AI) yang telah diprogramkan untuk mengesan serta-merta kata kunci tertentu yang dianggap sensitif, antaranya termasuklah perkataan seperti “Gaza”, “Palestin” atau “Al-Aqsa”.

Alasan yang sering digunakan oleh syarikat gergasi teknologi ini adalah untuk memelihara keselamatan komuniti. Walau bagaimanapun, secara realitinya, pendekatan ini mewujudkan satu bentuk ketidakadilan digital yang ketara kerana kandungan yang bertujuan mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia sering kali disamakan dengan propaganda ekstremisme.

Dakwaan kewujudan sekatan sistematik ini bukanlah sekadar teori konspirasi atau andaian kosong daripada pengguna media sosial. Hakikatnya, penindasan digital ini telah dicatatkan secara rasmi dan ilmiah oleh pelbagai badan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa melalui siri kajian serta pemantauan yang sangat teliti. Antara bukti yang memperincikan isu ini adalah laporan khas yang diterbitkan oleh organisasi terkemuka, Human Rights Watch (HRW).

Laporan yang bertajuk “Meta’s Broken Promises: Systemic Censorship of Palestine Content on Instagram and Facebook” telah mendedahkan bukti berlakunya penapisan yang meluas. Laporan terperinci tersebut mendedahkan lebih daripada 1,000 kes penapisan dan sekatan akaun secara tidak adil yang melibatkan aktivis pro-Palestin di seluruh pelosok dunia. Penemuan ini secara langsung membuktikan bahawa panduan konten yang ditetapkan oleh syarikat Meta adalah berat sebelah.

Selain laporan Human Rights Watch, badan pemantau hak digital seperti 7amleh (The Arab Center for the Advancement of Social Media) secara konsisten mengeluarkan data pelanggaran hak digital ini. Kajian-kajian tersebut menunjukkan bahawa algoritma yang digunakan oleh media sosial utama sengaja diselaraskan untuk mengurangkan penglihatan kandungan yang membela nasib rakyat Palestin.

Jelas ini merupakan satu bentuk imperialisme digital moden, di mana syarikat korporat teknologi yang berpangkalan di negara Barat mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan naratif geopolitik mana yang boleh dibaca oleh masyarakat global, sekali gus menyembunyikan realiti sebenar yang sedang berlaku di bumi Palestin.

Cara Mengatasi Sekatan Algoritma Palestin di Media Sosial

Walaupun berhadapan dengan sistem penapisan digital yang ketat, sejarah membuktikan bahawa suara kebenaran tidak dapat disenyapkan dengan mudah. Generasi muda pada hari ini tidak hanya berdiam diri meratapi sekatan tersebut, sebaliknya mereka bertindak balas dengan membina pelbagai taktik gerila digital yang kreatif untuk mengelirukan bot penyaring algoritma dan memastikan maklumat kemanusiaan terus tersebar.

Strategi pertama ialah penggunaan istilah “algospeak”. Kaedah ini melibatkan pengubahsuaian ejaan bagi kata kunci sensitif agar tidak dapat dikesan oleh sistem imbasan automatik. Sebagai contoh, perkataan Palestin ditulis sebagai “P@lest1n” atau “P4lestine” manakala perkataan Gaza diubah menjadi “G4z4”.

Selain itu, penggunaan emoji tertentu juga digunakan sebagai ganti kepada perkataan untuk menyampaikan maksud yang sama seperti emoji tembikai mewakili Palestin. Seterusnya, taktik unik pengguna media sosial di Malaysia adalah dengan memanfaatkan tulisan Jawi atau dialek tempatan dalam perkongsian mereka. Sistem kecerdasan buatan barat yang dibina berasaskan pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) bahasa Inggeris mengalami kesukaran untuk menganalisis dan memahami aksara Jawi serta loghat daerah, sekali gus membolehkan maklumat tersebut disebarkan dengan selamat tanpa sekatan.

Gambar ini menunjukkan penentangan simbolik menggunakan emoji buah tembikai (🍉) sebagai ganti kepada bendera Palestin, bertujuan mengekalkan solidariti kemaslahatan di alam maya tanpa mencetuskan amaran sekat (red flag) daripada algoritma platform.
Gambar di atas menunjukkan bagaimana portal berita rasmi juga terkesan oleh shadowban, sehingga terpaksa mengubah ejaan laporan penting seperti “p3rang” dan “1sr4el” demi memastikan berita geopolitik dunia itu tetap sampai kepada masyarakat.

Di samping itu, anak muda kini lebih bijak dalam mempelbagaikan bentuk penyampaian maklumat. Daripada hanya memuat naik imej konflik yang ngeri dan grafik yang mudah dikesan oleh kecerdasan buatan, mereka kini beralih kepada penggunaan karya seni kreatif seperti lukisan ilustrasi, komik pendek dan kaedah penceritaan yang memfokuskan kepada aspek kemanusiaan (human-interest). Kisah tentang kecekalan hidup seharian penduduk di Gaza atau nilai keteguhan atau “Sumud” masyarakat di Baitulmuqaddis diceritakan semula dengan cara yang lebih menyentuh emosi dan mudah dikongsi oleh orang ramai tanpa perlu melanggar had batasan sensitiviti yang ditetapkan oleh algoritma.

Tuntasnya, perjuangan membela nasib rakyat Palestin tidak lagi hanya terhad di medan pertempuran fizikal. Pertarungan yang tidak kurang pentingnya kini sedang rancak berlaku di skrin telefon pintar kita semua. Golongan muda tidak boleh membiarkan rasa kecewa terhadap kewujudan “shadowban” ini melemahkan semangat solidariti mereka. Telefon di tangan kita adalah alat bagi menyuarakan kebenaran yang sangat berkuasa sekiranya digunakan dengan cara yang betul dan strategik. Kita perlu terus mencipta kandungan kreatif dan mencari kaedah inovatif untuk memecahkan tembok sekatan digital ini.

Muhammad Idraki bin Shahriman
Pelajar Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Exit mobile version