
Menteri-menteri luar negara Arab dan Islam bersetuju mewujudkan satu mekanisme tetap bagi mendokumentasikan serta mendedahkan siri pelanggaran pihak berkuasa Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan tempat-tempat sucinya.
Keputusan itu dicapai menerusi satu deklarasi bersama selepas mesyuarat menteri di ibu negara Jordan, Amman, yang dihadiri ahli Jawatankuasa Menteri Arab serta wakil dari Türkiye, Pakistan, Indonesia, dan Malaysia.
Antara teras utama deklarasi bersama berkenaan termasuk:
-
Mekanisme Media & Diplomatik: Mewujudkan platform media khas bagi merakam pelanggaran terhadap tapak suci dan jemaah, sebelum diangkat ke pengetahuan organisasi antarabangsa serta masyarakat global.
-
Penegasan Status Al-Aqsa: Menegaskan bahawa keseluruhan kawasan Masjid Al-Aqsa seluas 144 dunam (35.6 ekar) merupakan hak eksklusif umat Islam, dengan Jabatan Wakaf Baitulmaqdis di bawah Jordan sebagai satu-satunya pihak berkuasa pentadbiran yang sah.
-
Kecaman Pencerobohan: Mengutuk percubaan mengubah status quo sejarah, sekatan jemaah, pencerobohan kelompok ekstremis, serta tindakan yang menyasarkan institusi dan paderi Kristian di kawasan tersebut.
-
Kedaulatan & Penyelesaian Dua Negara: Menegaskan semula Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, serta menolak sebarang keputusan unilateral termasuk pemindahan misi diplomatik asing ke bandar itu.
Para menteri turut memberi amaran bahawa pencerobohan berterusan terhadap tempat suci Islam berisiko mencetuskan kemarahan sekitar 2 bilion umat Islam di seluruh dunia dan memicu konflik agama yang lebih meluas.
Sebagai susulan, satu mesyuarat peringkat menteri bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab dijadualkan berlangsung sewaktu Perhimpunan Agung PBB di New York pada September ini bagi memantau perkembangan di Baitulmaqdis Timur.
Sumber: TRT World