
Di sebalik kritikan masyarakat antarabangsa, barisan menteri kabinet dan ahli parlimen Israel bertindak mencetuskan provokasi melampau apabila menyertai perarakan berhampiran sempadan Semenanjung Gaza bagi menuntut pembinaan semula penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin yang dikepung itu.
Perarakan yang berlangsung pada Ahad itu sengaja diteruskan walaupun tentera Israel telah mengeluarkan perintah sekatan di saat-saat akhir atas kebimbangan keselamatan bahawa peserta akan bertindak merempuh pagar sempadan. Pihak tentera sebelum ini telah mengisytiharkan kawasan berkenaan sebagai zon tentera tertutup selama 24 jam.
Disertai Menteri Ekstremis Haluan Kanan
Perhimpunan yang dinamakan “Perarakan Beribu-ribu” ini dianjurkan oleh Nachala, sebuah organisasi peneroka haram tegar yang diketuai oleh Daniella Weiss. Kumpulan ini secara terbuka mahu menghapuskan kewujudan etnik Palestin dari Gaza.
Meskipun laporan media Israel menganggarkan kehadiran hanya sekitar beberapa ratus orang, penganjur mendakwa lebih 10,000 peserta hadir, termasuk sebahagian yang bertindak memintas pusat pemeriksaan tentera melalui lereng bukit untuk mendekati pagar sempadan Gaza.
Antara tokoh utama yang mengetuai perarakan tersebut ialah Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich—dua menteri kabinet yang kini disekat oleh beberapa negara Eropah akibat kelakuan ekstrem mereka. Perarakan ini turut mendapat tajaan daripada parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, walaupun beliau sebelum ini mendakwa Gaza tidak akan ditempatkan semula.
“Gaza adalah milik kita,” tulis Ben-Gvir secara angkuh dalam kapsyen video yang dimuat naik di media sosialnya semasa menyertai perarakan tersebut. Sementara itu, Smotrich menyeru rakyat Israel agar tidak melepaskan “peluang bersejarah” untuk membina semula penempatan di wilayah berkenaan.
Tuntut Pelan Penempatan Semula
Di bawah slogan “Kembali ke Rumah Selepas 21 Tahun”, para peneroka haram menuntut pembinaan semula tiga penempatan utama iaitu Elei Sinai, Dugit, dan Nisanit—kawasan yang telah dikosongkan apabila tentera Israel berundur dari Gaza pada tahun 2005.
Peguam dan penganalisis politik Palestin, Diana Buttu, menyelar tindakan biadab itu dan menyatakan bahawa kebiadaban Israel adalah disebabkan oleh ketiadaan sebarang hukuman atau akauntabiliti daripada badan dunia.
“Kerana Israel tidak pernah dihukum atas jenayah mereka, adalah perkara biasa bagi sesebuah negara yang melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik untuk berasa kebal dan terus merampas lebih banyak tanah (Palestin),” tegas beliau kepada Al Jazeera.
Sumber: Al Jazeera / Oleh Faisal Ali