
Pendirian dan peranan Malaysia susulan pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan di Asia Barat dijangka menjadi antara tumpuan utama dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang dikeluarkan di laman rasmi Parlimen, isu geopolitik antarabangsa tersebut akan dibangkitkan oleh Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin). Beliau dijadualkan mengemukakan soalan kepada Menteri Luar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang bermula tepat jam 10 pagi ini, bagi mengetahui langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan untuk memastikan keamanan berkekalan di rantau berkenaan.
Pada sesi yang sama, tumpuan turut diberikan kepada isu kos sara hidup rakyat. Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) akan meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk membentangkan status terkini pelaksanaan inisiatif MADANI Mart. Beliau menuntut pendedahan terperinci merangkumi jumlah cawangan yang telah mula beroperasi, jumlah permohonan yang diterima, serta bilangan usahawan yang terlibat dalam program tersebut.
Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan pula, isu keselamatan dan kesihatan awam berhubung ancaman dadah sintetik akan diutarakan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka). Beliau meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan mengenai statistik kes penagihan dadah sintetik yang direkodkan dari tahun 2023 hingga kini, berserta strategi kerajaan dalam menangkis ancaman dadah jenis baharu, terutamanya fentanyl.
Menyentuh aspek ekonomi dan pelaburan antarabangsa, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dijadualkan menyoal Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai perkembangan terkini status pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Agreement on Reciprocal Trade – ART) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.
Selain sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat pada hari ini juga bakal menyaksikan pembentangan bacaan kali pertama bagi tiga rang undang-undang (RUU). RUU tersebut adalah Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026, Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026, dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026.
(Sumber olahan daripada BERNAMA)