Muktamar Masjid SeMalaysia untuk Al Aqsa Bakal Dianjur

KUALA LUMPUR:Sebuah Muktamar Masjid SeMalaysia untuk Al Aqsa akan dianjurkan pada 21hb Ogos 2024 sempena peringatan Hari Masjid Sedunia di Kuala Lumpur.

Muktamar tersebut dianjurkan oleh MAPIM bersama beberapa pihak lain iaitu Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia. Kerjasama bakal melibatkan pihak agensi kerajaan seperti YADIM. Ia juga bakal melibatkan pihak NGO dan syarikat korporat untuk turut bekerjasama menjayakan muktamar yang julung kali diadakan di negara ini.

Pada 21hb Ogos 1969, Masjid Al Aqsa telah cuba dibakar oleh seorang Zionis Nasrani dari Australia. Menurut rekod, sepertiga Masjid yang merupakan qiblat pertama umat Islam itu telah terbakar yang memusnahkan mimbar Salahuddin Al Ayubi. Pada hari itu, setelah diusulkan oleh Iran, OIC mengisytiharkan 21hb Ogos sebagai Hari Masjid Sedunia.

Namun semenjak hari itu sehingga 2024, Masjid Al Aqsa sering dicerobohi oleh Zionis Yahudi hampir setiap hari. Keganasan tentera dan polis Zionis Yahudi telah melakukan pencabulan berkali-kali di dalam Masjid Al Aqsa. Larangan pelawat Yahudi dan Nasrani di perkarangan Masjid Al Aqsa supaya tidak melakukan ritual agama mereka sering dilanggar dan provokasi serta gangguan ke atas jemaah Muslim kerap berlaku sehingga tercetus pertempuran berdarah di Masjid itu.

Yahudi kini bertekad untuk merampas Masjid Al Aqsa dan meruntuhkannya untuk mendirikan sebuah kuil yang didakwa sebagai Kuil Sulaiman. Masjid seMalaysia tanpa ragu perlu bersatu untuk menyatakan sokongan mempertahankan Masjid Al Aqsa. Adalah tanggungjawab yang tidak boleh disangkal bahawa mempertahankan kesucian Al Aqsa adalah termasuk dalam soal aqidah umat Islam.

Muktamar Masjid SeMalaysia sempena Hari Masjid Sedunia pada 21hb Ogos nanti akan mengambil semangat membebaskan dan mempertahankan Masjid Al Aqsa. Al Aqsa.

Tujuan Muktamar Masjid SeMalaysia ini adalah untuk menyatukan umat, memperkasa masjid dan meningkatkan kesedaran mengenai status Masjid Al Aqsa. Ia juga diharap dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan umat Islam bahawa selagi Masjid Al Aqsa tidak dibebaskan, selagi itu Palestin tidak merdeka dari penjajahan Israel.

Muktamar ini juga akan mengangkat persoalan tentang 1000 masjid di Gaza yang telah dibom sejak 7hb Oktober 2023 oleh penjenayah Israel yang disokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat. Dijangka 1000 wakil masjid dan NGO serta para ulama dan pemerhati dari beberapa negara akan hadir dalam Muktamar ini.

Resolusi dari Muktamar ini dijangka akan menyedarkan seluruh 6800 masjid di seluruh negara untuk berperanan menyumbang kepada perjuangan mempertahankan Al Aqsa. Jawatankuasa induk adalah Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MAPIM, Dato’ Seri Ustaz Ahmad Awang, Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Dato Wira Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.

Pembentangan dan intipati yang telah disampaikan oleh Mohd Azmi Abdul Hamidn, Presiden MAPIM, menyatakan bahawa objektif muktamar ini adalah untuk memahami kepentingan masjid dalam menyokong perjuangan melindungi Masjid Al Aqsa. Selain itu, muktamar ini bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti masjid di seluruh negara, membina rangkaian masjid di seluruh Malaysia yang menyumbang kepada perlindungan Masjid Al Aqsa dan memahami keperluan OIC untuk bertindak. Ia juga bertujuan membangunkan masjid sebagai pusat ilmu, pembinaan akhlak, ketahanan Islam, persaudaraan global, sokongan kepada asnaf, penggiatan ekonomi ummah, perpaduan, pendidikan masyarakat, dan pembangunan kepimpinan ummah.

Dato’ Seri Ustaz Ahmad Awang pula menyatakan, “Gabungan masjid dan surau bertujuan menyatukan seluruh tempat suci itu di dunia bagi melindungi masjid ketiga suci umat Islam ini.”

Manakala Dr. Syarif Abu Shammala, wakil Al Quds Foundation, berkongsi situasi semasa di Gaza dari perspektif warga Palestin. Beliau menyatakan bahawa “Israel lebih jahat daripada syaitan…Kita berharap agar usaha dan hujah kita dalam pembelaan Palestin mendapat keberkatan dan diterima oleh-Nya.”

Harapan dengan penganjuran  Muktamar Masjid SeMalaysia ini mogadapat menjadi platform yang kuat untuk menyatukan umat Islam dalam mempertahankan Masjid Al Aqsa dan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingannya di seluruh dunia.

 

 

Exit mobile version