MyCC Kesan Kartel Penetapan Harga Perkhidmatan Penjagaan Kanak-Kanak di Kelantan

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap 31 buah perusahaan penjagaan kanak-kanak di Kelantan yang didakwa terlibat dalam kartel penetapan harga lantai bagi perkhidmatan tersebut. Siasatan awal MyCC mendapati perusahaan-perusahaan terbabit berkemungkinan melanggar Akta Persaingan 2010 selepas bersetuju menetapkan harga lantai secara sebulat suara bagi mengekang persaingan secara tidak sihat.

Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun, menjelaskan bahawa kumpulan perusahaan ini dilaporkan telah mengadakan perbincangan semasa mesyuarat persatuan pada September 2023 untuk mencapai kata sepakat mengenai penetapan harga. Keputusan tersebut kemudiannya disebarkan melalui memorandum dan diumumkan secara terbuka menerusi akaun Facebook rasmi persatuan, dengan menyatakan bahawa harga lantai baharu tersebut akan mula dikuatkuasakan pada tahun 2024.

Tindakan ini dilihat sebagai satu cubaan untuk menghalang persaingan yang adil dalam pasaran penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negeri tersebut. MyCC menegaskan bahawa penetapan harga oleh pesaing merupakan satu kesalahan serius di bawah undang-undang persaingan kerana ia boleh merugikan pengguna, khususnya ibu bapa yang terpaksa membayar kos yang lebih tinggi tanpa pilihan harga yang kompetitif.

Walau bagaimanapun, Idrus Harun menekankan bahawa Keputusan Cadangan ini adalah dapatan awal dan perusahaan yang terlibat belum dianggap melanggar akta secara konklusif. Kesemua 31 perusahaan terbabit telah dimaklumkan mengenai cadangan penalti kewangan dan diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis atau lisan sebelum keputusan muktamad dikeluarkan oleh suruhanjaya.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version