Negara-Negara Arab Kutuk Pencerobohan Provokatif Ben-Gvir ke Masjid Al-Aqsa

Barisan negara Arab termasuk Jordan, Kuwait, Qatar, dan Arab Saudi mengecam tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang menceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki bersama kumpulan peneroka haram Yahudi di bawah kawalan ketat polis Israel.

Qatar menyifatkan pencerobohan berkenaan sebagai “provokasi yang tidak boleh diterima” terhadap umat Islam global yang berisiko memicu ketidakstabilan serantau. Arab Saudi dan Kuwait turut mengutuk keras pencerobohan itu, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang kemantuan antarabangsa dan menggesa masyarakat dunia menghentikan tindakan haram rejim Israel.

Kementerian Luar Jordan menegaskan bahawa insiden tersebut merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap status quo sejarah dan perundangan di Al-Aqsa. Amman memberi amaran keras terhadap sebarang percubaan Israel untuk membahagikan kompleks seluas 14.4 hektar itu, sambil mengulangi bahawa ia merupakan tempat ibadat eksklusif umat Islam yang berada di bawah pentadbiran Jabatan Wakaf Islam Baitulmaqdis.

Pencerobohan Ben-Gvir berlaku ketika seramai 992 peneroka haram Israel menceroboh kawasan suci berkenaan bersempena perayaan Yom Kippur.

Hamas Kecam Lawatan Terowong Netanyahu

Dalam pada itu, kumpulan penentang Palestin, Hamas, turut mengecam tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang memasuki tapak penggalian dan terowong di bawah kompleks Masjid Al-Aqsa serta Tembok Al-Buraq.

“Pencerobohan Netanyahu ke dalam terowong dan tapak penggalian di bawah Masjid Al-Aqsa yang diberkati, disertai kenyataan provokatif, merupakan serangan terang-terangan terhadap identiti serta statusnya. Seluruh kompleks Al-Aqsa akan kekal sebagai milik umat Islam semata-mata,” kata kenyataan rasmi Hamas.

Sumber: TRT World dan Agensi

Exit mobile version