Norway Pertimbang Usul PBB Batal Sekatan Bantuan Israel ke Gaza

Norway akan mengemukakan satu resolusi baharu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menuntut Israel menarik balik sekatan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa.

Menurut Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, cadangan itu akan difailkan bersama beberapa negara lain bagi memastikan keputusan ICJ diterjemahkan kepada tindakan nyata.

“Norway berhasrat untuk membuat susulan terhadap keputusan ICJ ini dengan satu resolusi baharu di Perhimpunan Agung PBB. Tiada negara boleh menganggap dirinya berada di atas undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang media di Oslo.“Ini penting, bukan sahaja untuk rakyat Palestin, tetapi juga untuk semua penduduk yang hidup dalam situasi peperangan dan konflik,” tambahnya.

ICJ pada Rabu lalu memutuskan bahawa Israel bertanggungjawab sepenuhnya di bawah Konvensyen Geneva Keempat untuk membenarkan dan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan oleh negara ketiga serta organisasi neutral, termasuk Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Mahkamah itu menegaskan bahawa Israel, sebagai kuasa pendudukan, mempunyai tanggungjawab tanpa syarat untuk memastikan keperluan asas penduduk Gaza dipenuhi.
Dalam penilaiannya, ICJ mendapati penduduk Gaza “tidak menerima bekalan mencukupi” dan oleh itu, Israel mesti membenarkan dan membantu operasi bantuan kemanusiaan di wilayah tersebut.

Walaupun keputusan ICJ tidak mengikat secara undang-undang, mahkamah berpendapat bahawa pendiriannya mempunyai “berat undang-undang dan kuasa moral yang besar” dalam konteks kemanusiaan global.

Kerajaan Israel bagaimanapun menolak keputusan tersebut, menyifatkannya sebagai “percubaan politik untuk mengenakan tekanan terhadap Israel di bawah nama undang-undang antarabangsa.”

Keputusan ICJ itu dibuat selepas beberapa bulan komuniti antarabangsa mendesak Israel menamatkan penggunaan sekatan dan kebuluran sebagai senjata perang, yang telah menyebabkan krisis kemanusiaan paling buruk di Gaza sejak serangan bermula tahun lalu.

Norway, yang dikenali sebagai antara penyokong kuat penyelesaian dua negara, kini berperanan mengetuai usaha diplomatik baharu bagi memastikan saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka sepenuhnya serta menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa.


Sumber: TRT World & agensi antarabangsa

Exit mobile version