Oman menyambut Hari Kebangsaan ke-55 bulan ini dengan menegaskan komitmen negara itu untuk memperkukuh pembangunan dan merealisasikan Visi 2040.
Duta Oman ke Malaysia, Sheikh Al-Abbas Ibrahim Al Harthi, berkata tahun 2025 menandakan beberapa pencapaian penting bagi Oman, termasuk pemodenan ekonomi dan kewangan melalui peningkatan kecekapan perbelanjaan awam, pencapaian penarafan kredit bertaraf pelaburan, serta pemeteraian perjanjian antarabangsa yang menggalakkan inovasi dan keusahawanan.
Beliau menambah Oman bersedia memperkenalkan sistem cukai pendapatan progresif bagi memastikan keadilan dan meluaskan sumber hasil. Sektor bukan minyak kini menyumbang lebih 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, manakala hutang awam telah dikurangkan kepada sekitar 35 peratus.
“Selaras dengan Visi 2040, Oman melaksanakan strategi nasional secara teliti, memberi tumpuan kepada pemelbagaian ekonomi, peralihan tenaga, dan aspirasi mencapai keneutralan karbon menjelang 2050,” katanya.
Sheikh Al Harthi turut menegaskan sokongan Oman terhadap hak sah rakyat Palestin dan pembentukan negara berdaulat dalam sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota, sambil menyeru masyarakat antarabangsa bertindak ke arah penyelesaian dua negara sebagai jalan adil mencapai keamanan berkekalan di Timur Tengah.
Kesultanan itu juga mengecam sebarang pelanggaran kedaulatan negara dan menyokong langkah mengurangkan ketegangan serta mendorong dialog politik yang bermakna.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan mengulas pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan Timbalan Perdana Menteri Oman bagi Hal Ehwal Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa, Sayyid Asaad Tariq Al Said, yang membuka ruang memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.
Kerjasama merentasi pelbagai sektor turut disokong Memorandum Persefahaman (MoU) yang menumpukan perusahaan kecil dan sederhana, termasuk Program Bersama Dua Tahun antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Oman bagi pembangunan pasaran modal. Dua MoU lain sedang dirangka dalam bidang kesihatan dan pendidikan tinggi.
Oman menyambut Hari Kebangsaannya setiap tahun pada 20 November.
Sumber: BERNAMA