
Seorang paderi Gereja Ortodoks Yunani di Bethlehem mendedahkan bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah menolak permohonan visa masuknya semata-mata kerana identiti Palestin yang dimilikinya, sambil memberi amaran bahawa pendudukan Israel, serangan peneroka haram serta kesempitan ekonomi kini mendorong semakin ramai penganut Kristian Palestin berhijrah ke luar negara.
Paderi paroki Ortodoks Yunani di bandar selatan Tebing Barat itu, Paderi Issa Thaljieh, memberitahu Agensi Anadolu bahawa beliau sebelum ini dijemput untuk menghadiri sebuah persidangan Yahudi Ortodoks di AS pada 14 November lalu.
Menurutnya, beliau tetap mengemukakan permohonan meskipun terdapat sekatan perjalanan yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, dengan harapan layak diberikan pengecualian.
“Namun permohonan saya ditolak, dan saya dimaklumkan bahawa mereka tidak dapat memberikan pengecualian kepada saya,” katanya.
Washington mula menyekat kemasukan pelawat yang menggunakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan atau disahkan oleh Pihak Berkuasa Palestin sejak awal tahun 2026 dengan pengecualian yang amat terhad. Sekatan berkenaan merangkumi urusan imigresen dan lawatan sementara termasuk tujuan pengajian serta rawatan perubatan, sekali gus mengehadkan penyertaan rakyat Palestin dalam acara keagamaan, kebudayaan dan akademik.
Thaljieh berkata beliau berhasrat menyampaikan mesej kasih sayang dan keamanan dari Bethlehem menjelang sambutan Krismas serta berkongsi gambaran sebenar penderitaan rakyat Palestin di bawah pendudukan Israel.
“Saya percaya penolakan itu berpunca daripada hakikat bahawa saya seorang rakyat Palestin yang tinggal di Tanah Suci ini. Permohonan saya ditolak kerana kewarganegaraan dan identiti Palestin saya. Itulah sebab utamanya, tiada sebab lain,” tegasnya.
Selain itu, beliau juga berhasrat menyertai komuniti jemaah Ortodoks di AS dalam upacara keagamaan serta membincangkan tekanan berterusan yang memaksa masyarakat Kristian meninggalkan Bethlehem. Biarpun gagal berangkat ke negara itu, Thaljieh tetap menyertai persidangan berkenaan secara dalam talian.
“Suara Bethlehem tetap sampai kepada mereka menerusi penyertaan melalui aplikasi Zoom, dan mesej yang ingin kami sampaikan berjaya dikongsikan,” ujarnya.
Penghijrahan Penganut Kristian Semakin Meningkat
Dalam perkembangan berkaitan, Thaljieh memberi amaran bahawa golongan Kristian semakin ramai meninggalkan Tanah Suci berikutan tekanan ekonomi dan situasi politik yang kian meruncing.
Beliau memetik bandar Taybeh di Tebing Barat yang majoriti penduduknya beragama Kristian sebagai contoh nyata tekanan hebat yang terpaksa dihadapi komuniti tersebut.
“Berlaku rampasan tanah, keganasan penjajah serta serangan terhadap penganut Kristian yang menetap di Tanah Suci ini. Populasi Kristian semakin menyusut akibat pendudukan, keadaan politik yang sukar serta kemerosotan ekonomi yang memaksa mereka berhijrah,” jelasnya.
Bandar-bandar yang majoritinya didiami penganut Kristian di Tebing Barat yang diduduki sering berdepan serangan berulang kali daripada penjajah, peluasan penempatan haram dan rampasan tanah, di samping sekatan pergerakan serta akses kepada punca rezeki yang turut menjejaskan seluruh komuniti Palestin.
Selain itu, pelaksanaan sistem permit Israel dan sekatan jalan raya tentera turut menyekat akses rakyat Palestin dari bahagian lain Tebing Barat untuk mengunjungi tempat-tempat suci di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, termasuk Gereja Makam Suci, bagi menyertai upacara keagamaan mereka.
Sumber: Agensi Anadolu (Anadolu Ajansı)