
Pasukan Pertahanan Awam Gaza dilaporkan memulakan operasi mengeluarkan 13 mayat rakyat Palestin dari bawah runtuhan sebuah bangunan kediaman yang musnah akibat serangan rejim Israel pada awal pencerobohan.
Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) itu tertumpu di kediaman keluarga Gharbiya yang terletak di kawasan Al Katiba, barat Bandar Gaza. Mangsa yang tertimbus dilaporkan merangkumi golongan wanita, kanak-kanak, serta warga emas.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, memberi amaran bahawa sekiranya krisis kekurangan jentera berat, peralatan khas, dan bekalan bahan api berterusan, usaha mengeluarkan beribu-ribu mayat yang masih tertimbus di seluruh Gaza dijangka memakan masa bertahun-tahun.
“Kru kami bekerja dalam keadaan sumber yang sangat terhad, malah kadangkala hanya menggunakan tangan kosong tanpa sebarang peralatan perlindungan,” kata Basal sambil menggesa badan antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia untuk menyalurkan bantuan logistik serta jentera berat dengan kadar segara.
Operasi pemulihan ini merupakan sebahagian daripada fasa kedua projek mencari mangsa yang dilancarkan pada 19 Julai. Fasa berkenaan menyasarkan 147 kediaman yang musnah di seluruh Bandar Gaza, utara, dan tengah Gaza, di mana dianggarkan sekurang-kurangnya 1,072 mayat masih berada di bawah runtuhan. Pada fasa pertama yang dilancarkan November 2025, sebanyak 333 mayat telah berjaya dikeluarkan.
Sejak pencerobohan bermula pada Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan melebihi 174,000 orang, di samping memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur di wilayah berkenaan. Pihak berkuasa tempatan menganggarkan sekitar 9,500 individu masih dilaporkan hilang.
Sumber: Agensi Anadolu via TRT World